KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki membuang sepuntung rokok dan palet kayu mengundang padah apabila mereka didenda masing-masing sebanyak RM1,300 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Pekerja di sebuah rangkaian kedai kopi, Ahmad Farhan Abdul Ghani, 35, dan peniaga buah, Mohd Hafizi Mohd Roduan, 48, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca berasingan di hadapan Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin.
Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Selain itu, kedua-dua lelaki selaku orang kena saman (OKS) berkenaan, dikehendaki menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam masa sebulan bermula tarikh notis dikeluarkan.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Farhan didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa tersebut.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebelah sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, jam 7.06 petang pada 3 Januari lalu.
Sementara itu, Mohd Hafizi dituduh membuang sisa pepejal iaitu palet kayu dan sampah perniagaan di tempat awam atau jalan awam dan bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa tersebut.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang di sini, jam 3.40 petang pada 17 Januari lalu.
Kedua-dua lelaki itu berdepan pertuduhan mengikut Subseksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 77A (2) akta sama.
Dua OKS juga boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat di bawah Subseksyen 77B (1) akta serupa.
Subseksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 dan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.
Ia dilaksanakan selama tempoh tertentu setiap hari yang tidak melebihi empat jam, sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah.
Mengikut fakta kes, dua penguat kuasa SWCorp membuat Operasi Penguatkuasaan Sampah Kecil dan Perintah Khidmat Masyarakat bertempat di Jalan Bukit Bintang, mendapati Ahmad Farhan membuang sisa pepejal berkenaan pada 3 Januari lalu.
Sementara pada 17 Januari lalu, Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah membuat Operasi Penguatkuasaan Sampah Kecil dan Perintah Khidmat Masyarakat di Pusat Bandar Utara Selayang.
Pasukan operasi melihat Mohd Hafizi membuang palet kayu di hadapan sebuah premis Pusat Bandar Utara Selayang.
Mereka selaku pengadu kemudian membuat laporan aduan berhubung kedua-dua kes tersebut.
Semasa prosiding, Mohd Hafizi dan Ahmad Farhan yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan.
Ahmad Farhan yang hadir memakai baju-T berkolar berwarna biru memberitahu mengalami masalah kewangan.
“Saya mengaku menyesal atas perbuatan yang dilakukan sebelum ini,” katanya.
Sementara Mohd Hafizi pula merayu, dikurangkan hukuman denda kerana keadaan ekonomi ketika ini.
“Berniaga agak perlahan ketika ini, jadi saya rayu mahkamah mengurangkan denda berkenaan,” katanya yang memakai baju-T berkolar berwarna hitam.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari SWCorp, Wan Mohd Hardy Alias memohon mahkamah mengenakan kedua-dua OKS hukuman denda berbentuk pengajaran.
“Mereka sihat fizikal dan mental sekali gus membolehkan mereka menjalani khidmat masyarakat sebagai salah satu hukuman kerana melakukan kesalahan berkenaan,” kata Wan Mohd Hardy.
Puntung rokok, kayu palet jadi punca 7,436 notis dikeluarkan SWCorp
Sementara itu, sebanyak 7,436 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan SWCorp di tujuh negeri bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,369 notis setakat 18 Mei lalu, ialah melibatkan warga tempatan manakala selebihnya warga asing.
**media[3526551]**
Menurutnya, statistik berkenaan membuktikan penguatkuasaan dilaksanakan secara aktif, konsisten dan berterusan khususnya di kawasan tumpuan awam.
Beliau berkata, di Wilayah Persekutuan sahaja, sebanyak 1,219 NPK direkodkan melibatkan kesalahan membuang puntung rokok dan pelbagai jenis sampah kecil di lokasi awam sejak Januari.
“Sebanyak 659 notis melibatkan rakyat tempatan manakala 560 lagi membabitkan bukan warganegara.
“Ini menunjukkan kesedaran mengenai kebersihan awam masih rendah dan tindakan penguatkuasaan perlu terus diperkasakan,” katanya ketika sidang akhbar di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Beliau berkata, empat individu berusia antara 35 hingga 48 tahun terdiri daripada warga tempatan dan asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan membuang sampah kecil termasuk puntung rokok dan kayu palet di tempat awam.
Katanya, kesalahan itu dilakukan dalam beberapa operasi penguatkuasaan sekitar Wilayah Persekutuan antara Januari hingga Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Pada Isnin, dua lelaki didenda RM1,300 setiap seorang atau penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah membuang sepuntung rokok dan kayu palet, lima bulan lalu.
Mereka selaku orang kena saman (OKS) turut diperintahkan melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama empat jam dalam tempoh sebulan.
Khalid berkata, seorang lagi OKS akan dibawa ke mahkamah pada 3 Jun depan, kerana gagal hadir ke mahkamah manakala seorang lagi OKS yang juga warga asing, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kerana telah pulang ke negara asal, di Bangladesh.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, SWCorp turut merekodkan sebanyak 18 waran tangkap dikeluarkan mahkamah, susulan kegagalan Orang Yang Disyaki (OYDS) hadir ke prosiding mahkamah.
Katanya, Melaka mencatat jumlah tertinggi iaitu lapan kes, diikuti Kedah sebanyak lima kes, Negeri Sembilan empat kes dan Johor satu kes.
Beliau berkata, daripada keseluruhan waran tangkap itu, enam individu dijatuhi hukuman denda antara RM300 hingga RM1,000 selain hukuman penjara jika gagal membayar denda serta diarahkan melaksanakan PKM antara empat hingga lapan jam.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, alasan kononnya kesalahan membuang sampah kecil tidak serius tidak lagi boleh diterima kerana perbuatan itu memberi kesan kepada kebersihan dan kesejahteraan masyarakat.
“Tangan yang mengotorkan, tangan itu jugalah yang akan membersihkan.
“Melalui PKM, OKS bukan sahaja dikenakan tindakan undang-undang, malah dididik memahami sendiri kesan perbuatan mereka terhadap kebersihan awam,” katanya.
Beliau berkata, SWCorp akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tindakan pendakwaan terhadap individu yang melanggar undang-undang kebersihan awam.
