KOTA BHARU - Seorang TikToker yang juga penjual laksa didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menggelarnya pelacur menerusi aplikasi WhatsApp pada 1 November tahun lalu.
Tertuduh, Nur Hazwani Mustapha, 39, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Vinoshen Raveentharan.
Mengikut pertuduhan, penjual laksa itu didakwa menggunakan perkataan yang bertujuan mengaibkan kehormatan Nur Faezah Sohaimi, 33, menerusi aplikasi WhatsApp dengan menyifatkan mangsa sebagai pelacur.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 11.30 pagi, 1 November 2025, di Kampung Dusun Muda di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Baihaqi Mohd Saidi sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali
Muhammad Husni dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman ke atas anak guamnya atas alasan wanita terbabit merupakan ibu tunggal yang mempunyai empat anak berusia antara enam hingga 17 tahun.
Katanya, tertuduh hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM50 sehari hasil perniagaannya menjual laksa.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM4,500.
Tertuduh kemudian membayar wang jaminan tersebut.





