Gelar bekas madu pelacur, peniaga laksa didenda RM4,500

25 Oct 2026 • 12:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gelar bekas madu pelacur, peniaga laksa didenda RM4,500

KOTA BHARU – Seorang peniaga laksa di TikTok didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas atas pertuduhan mengaibkan kehormatan bekas madunya melalui aplikasi WhatsApp dengan mengatakan wanita itu sebagai pelacur pada tahun lalu.

Tertuduh, Nur Hazwani Mustapha, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret R. Vinoshen.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan melalui aplikasi WhatsApp dengan menyatakan Nur Faezah Sohaimi, 33, sebagai seorang pelacur.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Dusun Muda di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pagi pada 1 November 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Baihaqi Mohd. Saidi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali.

Terdahulu, Muhammad Baihaqi mencadangkan hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.

Muhammad Husni dalam rayuannya memohon hukuman ringan memandangkan tertuduh merupakan seorang ibu tunggal selain perlu menyara empat anak sebagai peniaga laksa dengan pendapatan hanya RM50 sehari.

“Selain itu, barangan rampasan iaitu telefon bimbit jenis iPhone 14 mohon dikembalikan kepada pemilik asal,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau sebulan penjara jika gagal membayar jumlah tersebut dan barang kes dikembalikan kepada pemilik.

Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di rumah kira-kira pukul 11.30 pagi pada 1 November 2025 telah dihubungi oleh rakannya yang memaklumkan ada beberapa pesanan WhatsApp daripada Nur Hazwani Mustapha berbau ugutan.

Wanita itu datang ke balai polis pada 3 November 2025 untuk membuat laporan kerana bimbang dengan keselamatan dirinya. – KOSMO! ONLINE

The post Gelar bekas madu pelacur, peniaga laksa didenda RM4,500 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved