Kes di Kemaman: Polis nasihat jangan ambil tindakan sendiri, elak sebar spekulasi

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 11:08 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Polis menasihatkan dan memberi peringatan tegas kepada seluruh lapisan masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan undang-undang susulan tiga lelaki etnik Rohingya yang disyaki merogol seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Besut, Kemaman.

Ketua Polis Terengganu, Deputi Komisioner Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, sebarang tindakan keterlaluan terhadap warga asing bukan sahaja boleh mengganggu ketenteraman awam, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

“Sehubungan dengan itu, PDRM ingin menyampaikan nasihat dan peringatan tegas kepada seluruh lapisan masyarakat agar tidak mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan undang-undang terhadap warga asing.
“Sebarang tindakan keterlaluan ini boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan menjejaskan proses siasatan yang sedang berjalan.
“Serahkan sepenuhnya urusan dan tindakan untuk siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Image from: Kes di Kemaman: Polis nasihat jangan ambil tindakan sendiri, elak sebar spekulasi

Foto arkib: Bernama

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu mengesahkan menerima laporan pada 7 Ogos lalu berhubung kejadian rogol membabitkan seorang wanita OKU intelektual berusia 23 tahun.

Susulan laporan itu, pihak polis menjalankan tindakan susulan dan siasatan pantas sebelum menahan tiga lelaki warga asing bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman dan polis memperoleh perintah reman selama lima hari bermula 8 hingga 12 Ogos ini.

Mohd Khairi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan mandatori jika disabitkan kesalahan.

Image from: Kes di Kemaman: Polis nasihat jangan ambil tindakan sendiri, elak sebar spekulasi

Foto: Media sosial

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihak polis turut mengambil maklum mengenai satu perhimpunan yang diadakan penduduk tempatan di Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai.

Katanya, perhimpunan berkenaan diadakan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati masyarakat setempat susulan kejadian jenayah yang melibatkan warga asing di kawasan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, perhimpunan tersebut telah bersurai secara aman hasil perbincangan dan penerangan pihak polis.
“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes ini akan dilaksanakan secara telus, adil dan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.
Image from: Kes di Kemaman: Polis nasihat jangan ambil tindakan sendiri, elak sebar spekulasi

Foto: Media sosial

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan spekulasi, maklumat tidak sahih atau kenyataan berunsur provokasi yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, kesalahan penggunaan media sosial secara tidak wajar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan diminta menyalurkannya ke balai polis berdekatan, Bilik Gerakan Daerah (DCC) atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Sumber: Facebook Polis Terengganu

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved