
KURANG seminggu lagi seluruh mata akan tertumpu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal mengadakan ‘pilihan raya’ untuk memilih pucuk pimpinan baharu, Khamis ini.
Setiap calon yang lulus tapisan bagi merebut pelbagai jawatan memiliki tempoh dua minggu untuk melancarkan kempen dan memperjelaskan manifesto masing-masing untuk dinilai oleh setiap ahli gabungan.
Siapa pun yang bakal menang pada Kongres FAM kali ini layak untuk diraikan, namun kejayaan itu layak digelar sebagai ‘raja sehari’.
Segala kemeriahan meraikan kejayaan akan hilang sekelip mata dan yang tinggal hanyalah timbunan masalah di atas meja memandangkan pemilihan kali ini menjurus kepada langkah membersihkan FAM.
Jawatan di setiap kerusi sememangnya empuk tetapi pemiliknya harus ada jiwa untuk melunaskan tanggungjawab dengan penuh berani, berdaya tahan dan sentiasa bekerja keras.
Soalnya adalah bukan mengenai siapa yang paling pandai menjual manifesto, tetapi mereka yang dapat merealisasikan setiap janji.
Manifesto memang penting untuk menerangkan visi, hala tuju dan apa yang mahu dilakukan oleh calon tetapi sebagus mana sekalipun dirangka, ia tidak mempunyai nilai jika akhirnya hanya tersimpan dalam fail.
Persoalan utamanya adalah siapa yang sanggup mengambil penyapu dan mula membersihkan ‘rumah’ FAM yang tercemar teruk selepas dilondehkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Rumah bola sepak Malaysia sudah terlalu lama bercakap mengenai pembaharuan, transformasi dan era baharu, tetapi penyokong masih bertanya soalan yang sama. Bila mereka benar-benar boleh melihat hasilnya?
Penyokong tidak lagi mudah terpesona dengan senarai janji yang panjang kerana sudah mendengar pelbagai rancangan sebelum ini. Sebaliknya yang mereka mahu ialah garis masa jelas, ukuran prestasi dan keberanian untuk memastikan janji benar-benar dilaksanakan.
“Kalau kita beli rumah, kita masuk kita duduk saja rumah tanpa buat apa-apa, baik tak payah beli rumah itu. Ibarat macam itulah. Kita bukan nak cari penumpang.
“Kita perlukan orang yang sama-sama bekerja, bertanggungjawab untuk membantu memperbaiki, melakukan transformasi besar kepada FAM. Yang paling penting sekali adalah setiap orang yang bertanding kali ini ada hasrat besar untuk membetulkan, mengembalikan imej dan ia menuntut keberanian.
“Kalau tidak berani dan sekadar mahu jadi pengikut, orang kata itu adalah merugikan,” kata pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli.
Jadi sesiapa pun yang memenangi pemilihan nanti perlu faham, undi hanyalah tiket masuk, bukannya tiket kejayaan.
Selepas kemenangan adalah detik paling kritikal kerana ketika itulah manifesto yang dibentangkan akan mula diuji satu persatu.
Dari situ kita boleh membezakan antara calon dan pemimpin.
Calon perlu meyakinkan orang untuk mengundinya, pemimpin pula perlu meyakinkan penyokong selepas dia menang kerana tanggungjawab sebenar bermula apabila sorakan kemenangan reda dan semua orang kembali menuntut hasil. – KOSMO! ONLINE
The post FAM perlu ‘tukang baiki’, bukan ‘tukang janji’ appeared first on Kosmo Online.






