Pahang mula dilanda banjir, 4 PPS dibuka di Maran

LocalEnvironment
10 Dec 2024 • 9:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota APM Maran memantau keadaan di kawasan yang terjejas akibat banjir. Foto ihsan APM

image is not available
Empat PPS dibuka menempatkan 49 mangsa setakat jam 8.36 pagi Selasa. Foto ihsan APM

MARAN - Maran menjadi daerah pertama di Pahang dilanda banjir bagi gelombang kedua selepas 49 mangsa membabitkan 14 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di sini pada Isnin.

Menerusi portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 8.36 pagi Selasa, PPS di Kampung Ulu Luit menempatkan 15 mangsa; Pusat Pemindahan Tetap Luit (22); Kampung Sungai Baru Chedong (7) dan Surau Bukit Kuin (5).

Dalam pada itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Maran melaporkan, hujan berterusan bermula awal pagi Isnin sehingga Selasa setakat ini.

"Kejadian itu menyebabkan kawasan rendah di sekitar daerah ini dinaiki air bermula kira-kira jam 8 malam.

"Kawasan yang terjejas adalah Kampung Ulu Luit, Kampung Luit, Kampung Bukit Kuin dan Kampung Paya Chendong," kata sekretariat itu.

Tambah sekretariat itu, jumlah penduduk terjejas dijangka semakin bertambah.

"Pihak berkuasa yang terlibat telah ke lokasi terjejas untuk memantau dan memastikan situasi sebenar serta menghantar bantuan keperluan asas bencana kepada keluarga terjejas," kata sekretariat itu.