KUANTAN - Penerokaan haram membabitkan lebih 7,000 hektar kawasan di Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera, Bera menyebabkan ketirisan hasil dianggarkan mencecah RM387.8 juta kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dr Grippin Anak Akeng berkata, jumlah itu berdasarkan anggaran nilai stumpej RM55,400 bagi setiap hektar tanah diteroka di negeri ini.
"Jumlah itu merupakan anggaran kasar kerana jumlah sebenar hanya dapat ditentukan selepas bancian terperinci dilaksanakan di lapangan," katanya seperti dilaporkan portal Pahang Media.
Berdasarkan laporan Pahang Media itu, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali mengesahkan jumlah keluasan kawasan terlibat selari dengan pelan pemetaan kawasan penerokaan yang dilakukan pihaknya.
Beliau berkata, berdasarkan pelan pemetaan dilakukan UPNP, kawasan disyaki diteroka di dalam Hutan Simpan Kekal Tasek Bera melibatkan tanaman sawit, getah, kelapa, tanaman kontan, serta pembukaan baharu seluas kira-kira 7,163 hektar.
**media[3657216]**
“Keluasan kawasan yang diteroka ini juga berdasarkan semakan imej satelit melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA),” katanya.
Kerajaan Negeri telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersepadu di HSK Tasek Bera bermula 14 September lepas setelah lebih 7,000 hektar kawasan hutan yang digazetkan di bawah Konvensyen Ramsar diteroka secara haram.





