NRES menyokong tindakan bagi melindungi komitmen negara terhadap khazanah hutan negara

LocalEnvironment
24 Sep 2026 • 3:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

ramsar

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani isu penerokaan tanpa kebenaran yang dilaporkan melibatkan kawasan seluas lebih 2,212 hektar di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tasek Bera melalui Operasi Tindakan Penguatkuasaan Bersepadu.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, usaha itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan khazanah hutan negara terus dipelihara dan diurus secara mampan.

“Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera telah diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007 di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].

“Tasek Bera telah diiktiraf sebagai Tapak Ramsar pada tahun 1994 dan mempunyai kepentingan ekologi dan kepelbagaian biologi tanah lembap di peringkat antarabangsa.

“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Ramsar, NRES sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha pemuliharaan kawasan tanah lembap yang penting ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Arthur, aktiviti di Tapak Ramsar seharusnya dilaksanakan dengan prinsip wise use yang menjadi panduan utama di bawah Konvensyen Ramsar.

Katanya, sebarang aktiviti penerokaan, penebangan dan pertanian tanpa kebenaran perlu ditangani secara berhemah dan berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi mengelakkan kesan terhadap keseimbangan ekosistem serta habitat hidupan liar.

Katanya, operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang sejak bulan September 2026 adalah selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus dan perlindungan HSK.

“Pelaksanaan operasi ini juga mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 pada 2 Disember 2021, yang antara lain menekankan kepentingan tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani aktiviti penerokaan tanpa kebenaran di dalam HSK berdasarkan peruntukan Akta 313.

“NRES menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam pengurusan dan pentadbiran HSK, selaras dengan perundangan negara yang berkuat kuasa.

“Pada masa yang sama, Kementerian akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras di peringkat Persekutuan  dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dilaksanakan secara berkesan.

“Kerjasama ini penting dalam menyokong komitmen Kerajaan Malaysia semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992 untuk mengekalkan sekurang- kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara dilitupi oleh kawasan berhutan dan pokok-pokok.

“Sehubungan dengan itu, NRES melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dan agensi berkaitan, khususnya dalam aspek penyelarasan dasar, khidmat nasihat teknikal, pemantauan serta usaha pemuliharaan kawasan hutan yang terjejas.

“NRES kekal komited dalam memastikan khazanah hutan dan biodiversiti negara terus dipelihara dan diurus secara mampan melalui pendekatan yang seimbang antara penguatkuasaan undang-undang, pemeliharaan kelestarian alam sekitar serta menjaga kepentingan dan kesejahteraan komuniti setempat demi manfaat generasi masa kini dan akan datang,” jelas Arthur. – UTUSAN

The post NRES menyokong tindakan bagi melindungi komitmen negara terhadap khazanah hutan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved