
BATU PAHAT – Mahkamah Majistret di sini membenarkan reman tujuh hari ke atas seorang pengawal keselamatan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki di sebuah perpustakaan awam di Yong Peng, bulan lalu.
Perintah reman ke atas suspek berusia 31 tahun dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bermula hari ini sehingga Isnin, bagi membantu siasatan lanjut mengkut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku sekitar pukul 3 petang ketika mangsa yang juga murid tahun empat berseorangan ke perpustakaan terbabit sebaik selesai sesi persekolahan.
Ketika kejadian, suspek yang sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan berada di premis itu.
Sebelum ini, suspek kerap ke perpustakaan terbabit kerana tunangnya bekerja di situ, namun pada hari kejadian, hanya dia dan mangsa berada di bangunan itu.
Suspek dipercayai mengambil kesempatan mengumpan mangsa dengan telefon bimbit, sebelum mengajaknya memasuki sebuah bilik lalu membuka seluar murid serta melakukan amang seksual.
Kejadian itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada guru sebelum siasatan dijalankan. Pihak sekolah kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada bapa mangsa.
Berikutan kejadian itu, mangsa ditemani bapanya membuat laporan di Balai Polis Yong Peng untuk tindakan lanjut.
Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan lalu menahan suspek ketika sedang bertugas di sebuah sekolah di Parit Yaani, di sini, 8.50 malam tadi. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Pak guard’ nak kahwin tahun depan direman ‘sentuh’ budak lelaki appeared first on Kosmo Digital.





