Pakar bedah London buang tumor otak guna bantuan AI 

TechnologyHealth & Fitness
28 Aug 2026 • 1:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pakar bedah London buang tumor otak guna bantuan AI 

LONDON: Pakar bedah saraf di London berjaya menjalankan pembedahan pertama di dunia menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI) untuk membuang tumor otak, sekali gus menyelamatkan penglihatan seorang lelaki berusia 48 tahun.

Pembedahan itu dilakukan pada Mei di Hospital Nasional Neurologi dan Neurosurgeri (NHNN), sebahagian daripada rangkaian hospital NHS University College London, namun butirannya hanya didedahkan pada Khamis selepas pesakit, Rhys Hibbert selesai menjalani proses pemulihan.

Walaupun pasukan pembedahan kekal mengawal sepenuhnya prosedur berkenaan, sistem AI menganalisis rakaman kamera secara langsung ketika pembedahan berlangsung bagi membantu mengenal pasti struktur penting seperti saraf dan salur darah yang perlu dielakkan berhampiran tumor berukuran 11 milimeter pada kelenjar pituitari Hibbert.

“Apabila saya sedar daripada pembedahan, saya dapat melihat segala-galanya di dalam bilik dengan jelas.

“Rasanya seperti saya mempunyai pandangan panorama 360 darjah terhadap segala-galanya di sekeliling saya,” kata Hibbert yang mampu berjalan sendiri tanpa cermin mata atau tongkat dalam tempoh seminggu selepas pembedahan.

Beliau kini sudah kembali bekerja sebagai pengurus khidmat pelanggan.

Pakar bedah menjalankan prosedur itu menggunakan teknologi AI baharu yang membantu mengenal pasti struktur anatomi kecil dalam otak dengan memberikan kod warna kepada bahagian-bahagian penting, sekali gus membantu pakar bedah mengenal pasti dan mengelakkannya dengan lebih selamat.

Hospital berkenaan sebelum ini menggunakan teknologi itu sebagai alat penyelidikan, namun pembedahan tersebut menyaksikan kali pertama ia digunakan ke atas seorang pesakit.

Kelenjar pituitari, salur darah dan saraf yang mengawal penglihatan terletak sangat rapat antara satu sama lain. Menurut pegawai kesihatan, kesilapan walaupun hanya satu milimeter boleh membawa perbezaan kritikal dan berpotensi menyebabkan kebutaan, strok atau kematian.

Pakar Bidang Robotik dan AI University College London (UCL) serta ketua teknikal sistem AI berkenaan, Prof. Madya Dr. Sophia Bano berkata, sistem itu dilatih menggunakan ratusan rakaman video pembedahan.

“Dengan mempelajari ratusan video pembedahan, sistem ini didedahkan kepada pelbagai contoh prosedur yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk ditemui oleh seorang pakar bedah,” katanya.-AGENSI

The post Pakar bedah London buang tumor otak guna bantuan AI  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved