Pakej rangsangan ekonomi bergantung keperluan - MB Perak

LocalBusiness & Finance
6 Apr 2026 • 5:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH - Kerajaan Perak akan meneliti situasi ekonomi semasa sebelum memutuskan sebarang keperluan untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi khusus buat rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya telah menghadiri taklimat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu bagi mendengar penjelasan berhubung kedudukan ekonomi negara ketika ini.

Menurutnya, beberapa inisiatif telah diumumkan di peringkat Persekutuan, terutamanya melalui kementerian berkaitan yang menekankan aspek sekuriti makanan.

"Kita melihat ada pakej yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, khususnya mengenai keperluan penanaman tanaman makanan jangka masa pendek dalam tempoh tiga bulan.

"Di Perak, kita sudah lama mengamalkan kempen 'tanam apa yang kita nak makan, makan apa yang kita tanam'.

"Ini sebenarnya keperluan mendesak sekarang supaya kita tidak terlalu bergantung kepada bahan import yang semakin mahal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan gimik Penyerahan Buku Rujukan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Program Cikgu Saarani Tahun 2026 di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, sekiranya perlu kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat khas bagi merangka strategi rangsangan yang bersasar.

"Kita pun ada MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negeri) juga untuk mengukuhkan supaya rakyat Perak ini bersiap-siaga dan pada waktu yang sama dengan sedikit rangsangan daripada kita akan membantu mereka terutama kepada petani-petani dan juga usahawan-usahawan," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan kerajaan negeri meneruskan inisiatif pemberian buku rujukan tambahan SPM 2026 di bawah program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).

Katanya, sebanyak 63,306 naskhah buku rujukan akan diedarkan tahun ini dengan peruntukan mencecah RM1 juta meningkat berbanding 53,000 naskhah pada tahun lalu.

"Buku rujukan ini bukan sekadar himpunan soalan tahun lepas (past year series), sebaliknya ia merupakan soalan yang digubal khas oleh guru pakar dan pemeriksa kertas berdasarkan analisis keperluan murid di Perak.

"Fokus kita adalah membantu calon yang berpotensi lulus, khususnya daripada keluarga B40, supaya mereka lebih bersedia dengan teknik menjawab yang betul," katanya.

Beliau berkata, buat pertama kali inisiatif ini diperluaskan kepada pelajar di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Keberkesanan program TCS ini terbukti apabila Gred Purata Negeri (GPN) Perak bagi SPM 2025 menunjukkan peningkatan kepada 4.49 berbanding 4.63 pada tahun sebelumnya, dengan 1,008 pelajar berjaya memperoleh keputusan semua A.