Pan Merchant menang kontrak RM26.5 juta projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau Fasa 1

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pan Merchant menang kontrak RM26.5 juta projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau Fasa 1 Image from: Pan Merchant menang kontrak RM26.5 juta projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau Fasa 1 amree03/06/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 JunPan Merchant Berhad memperoleh kontrak bernilai RM26.49 juta bagi membekalkan peralatan utama projek pembangunan Skim Bekalan Air Sungai Rasau Fasa 1 di Selangor.

 

Kejayaan yang diraih menerusi anak syarikat milik penuhnya, PMI-Technology Sdn Bhd (PMI) terus mengukuhkan kedudukan kumpulan berkenaan dalam sektor rawatan air mentah di pasaran Malaysia.


Subsidiari itu menerima surat penganugerahan (LOA) daripada REI OOE Consortium Sdn Bhd (ROC) untuk dilantik sebagai pembekal yang dinamakan bagi pakej 2 proses loji rawatan air projek berkenaan.


"Tender ini meliputi kerja membekal, menghantar, menyelia pemasangan dan ujian, serta pentauliahan sistem bersama peralatan sokongan di loji rawatan Sungai Rasau," jelas Pan Merchant kepada bursa.


ROC merupakan kontraktor dilantik Gamuda M&E Sdn Bhd untuk melaksanakan beberapa komponen utama projek termasuk reka bentuk dan pembinaan kemudahan pengambilan air, dan saluran paip air mentah.


Kerja-kerja yang diberikan kepada PMI bermula serta-merta selepas pengeluaran LOA dan dijangka siap dalam tempoh 17 bulan, tertakluk kepada sebarang lanjutan masa dibenarkan di bawah kontrak.


Pan Merchant berkata, kontrak tersebut dijangka berupaya untuk memberikan sumbangan secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan projek itu.


"Lembaga pengarah berpandangan kontrak ini demi kepentingan terbaik kumpulan dan selaras dengan aktiviti perniagaan teras syarikat dalam bidang teknologi serta sistem rawatan air," katanya.


Syarikat itu turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang ada kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak.


Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau merupakan antara inisiatif strategik memperkukuh kapasiti bekalan air terawat di Selangor bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat. - DagangNews.com

Terkini standard