
Panasonic akan menamatkan pengeluaran televisyen (TV) di Malaysia menjelang September ini sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula operasi syarikat di peringkat global.
Menurut laporan Nikkei Asia, kilang yang menghasilkan TV itu dijangka ditutup sepenuhnya menjelang Mac 2027.
Penutupan tersebut dijangka memberi kesan kepada kira-kira 400 pekerja yang bakal kehilangan pekerjaan.
Selain TV, Panasonic juga akan menghentikan pengeluaran pemain cakera Blu-ray di Malaysia menjelang September.
Sementara itu, pengeluaran produk audio seperti pemain piring hitam (analog turntable) akan dipindahkan ke sebuah lagi syarikat Panasonic di Malaysia sebelum Februari 2027.
Langkah ini menunjukkan Panasonic masih mengekalkan sebahagian operasinya di negara ini, namun dengan tumpuan kepada produk yang berbeza.
Setakat ini, Panasonic masih belum menemui pembeli untuk kilang yang akan ditutup. Walaupun begitu, syarikat itu menegaskan bahawa produk TV dan audio Panasonic akan terus dijual di pasaran Malaysia.
Ini bermakna pengguna tempatan masih boleh mendapatkan produk Panasonic seperti biasa, cuma ia tidak lagi dihasilkan di kilang tersebut.
Keputusan ini dibuat ketika Panasonic berdepan persaingan yang semakin sengit daripada pengeluar China yang menawarkan produk pada harga lebih rendah.
Pada masa sama, banyak jenama elektronik antarabangsa kini memilih untuk mengupah syarikat lain di China bagi mengeluarkan produk mereka kerana kos yang lebih kompetitif.
Malah, operasi jualan Panasonic bagi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat juga telah dipindahkan kepada pengeluar peralatan rumah dari China, Skyworth Group.
Selepas penutupan kilang di Malaysia, Taiwan dijangka menjadi satu-satunya lokasi pengeluaran TV Panasonic yang masih dikendalikan sendiri oleh syarikat itu.
Kilang tersebut akan memberi tumpuan kepada memenuhi permintaan pasaran tempatan Taiwan, di mana Panasonic masih mempunyai pegangan pasaran yang kukuh.
Perubahan ini mencerminkan strategi baharu Panasonic untuk mengurangkan kos operasi dan menyesuaikan perniagaan dengan perubahan landskap industri elektronik global.





