Sejak Honor 600 Pro mula diperkenalkan sebagai peranti mercu, saya mula terfikir sama ada adakah ini ruang untuk jenama tersebut seimbangkan gaya dengan fungsi.

Ketika pertama kali saya melihat dan memegangnya, ia mengingatkan saya kepada jenama buah yang sering dijadikan rujukan dalam dunia peranti pintar moden sekarang, dan rasanya anda tahu apa yang saya maksudkan di sini. Bagaimanapun, apabila diperhatikan dengan lebih teliti, perbezaan kecil mula kelihatan sehingga menjadikannya masih mempunyai identiti sendiri meskipun perbezaan itu minimum. Ringkasnya, sekilas memang nampak mirip, tetapi sebenarnya tidak sama.

Pengalaman tersebut membuat saya lebih jelas tentang arah reka bentuk yang Honor cuba bawa kali ini. Selain itu, sisi yang lebih rata dan kamera yang tersusun kemas pada asasnya memberikan rasa yang lebih praktikal berbanding model sebelumnya yang melengkung. Di samping itu, saya dapat melihat bagaimana Honor cuba menggabungkan elemen yang pernah berjaya digunakan pada beberapa model pertengahan dengan sentuhan baharu yang lebih kontemporari pada peranti ini.

Seperti yang dinyatakan awal tadi, tidak sukar untuk melihat dari mana Honor mendapat inspirasi. Hal ini demikian kerana tepi rata di sekeliling peranti, serta kamera yang diselaraskan secara menegak, jelas mengingatkan kepada iPhone 17. Bagaimanapun, hal ini bukanlah sesuatu yang negatif kerana pengguna boleh berharap bahawa Honor 600 Pro kelak ditawarkan pada harga kurang daripada peranti Apple. Selain itu, ia juga terasa premium di tangan sekali gus memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan.

Seterusnya, Honor 600 Pro juga hadir dengan aura moden yang lebih menonjol berbanding model sebelumnya khususnya versi Pro. Reka bentuknya yang kini rata serta susun atur kamera memberi sentuhan kontemporari yang kemas. Perbezaan ini jelas apabila dibandingkan dengan Honor 400 Pro yang menggunakan binaan melengkung sebagai identiti utama.
Seperkara lagi yang boleh saya katakan ialah ia terasa lebih dekat dengan gaya Honor 400 standard dan Honor 400 Lite yang pernah saya cuba sebelum ini. Akhirnya, pengalaman pertama kali memegangnya memberi saya gambaran jelas tentang arah reka bentuk yang ingin diketengahkan oleh jenama ini, iaitu sederhana, kemas dan praktikal untuk digunakan setiap hari.

Saya sendiri tidak mempunyai masalah dengan pilihan warna ini, sama seperti pengalaman sebelum ini yang pernah saya tekankan dalam beberapa ulasan lain. Dari segi binaan, pada pandangan awal ia terasa cukup kukuh dan baik, sesuai dengan apa yang ditawarkan oleh kebanyakan peranti moden sekarang. Tambahan pula, panel kaca belakangnya memberikan rasa seakan satin yang selesa disentuh. Walaupun permukaannya agak pusam dan sedikit licin namun hal ini masih bergantung kepada cara peranti digunakan.

Seterusnya, Honor 600 Pro hadir dengan bonggol kamera memanjang yang menempatkan tiga lensa dalam susunan segi tiga, manakala lensa ketiga kelihatan lebih lonjong berbanding bulat seperti yang digunakan oleh jenama buah pada peranti terkini mereka. Perbezaan ini mungkin nampak kecil pada pandangan pertama, namun apabila diperhatikan dengan lebih teliti, ia jelas kelihatan. Tambahan pula, terdapat bulatan hitam dan kedudukan LED flash yang hampir sama dengan jenama berkenaan, sekali gus menjadikan persamaan itu lebih mudah terlihat.

Seperkara lagi yang saya dapati ialah bonggol kamera ini tidak terlalu tinggi. Di samping itu, peranti ini juga mempunyai keseimbangan yang baik kerana tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat. Malah, ia juga terasa seimbang dari semua bahagian termasuk bahagian atas, bawah dan bonggol kamera. Selain itu, reka bentuk yang lebih rata digunakan kali ini dirasakan bukan sahaja menghasilkan rupa yang lebih moden, bahkan turut menjadikan bonggol kamera tersebut kelihatan lebih bersahaja berbanding versi Pro tahun lalu yang agak besar.

Susunan butang standard menunjukkan kedudukan yang sudah familiar dengan beberapa peranti mereka. Di sebelah kanan terdapat tiga butang iaitu butang kuasa, laras audio dan satu lagi butang kamera tambahan. Setakat pengalaman saya gunakan, tiada masalah kerana butang terasa tegap serta sedap ditekan. Menariknya, butang kamera yang kini lebih dikenali sebagai butang AI berfungsi dengan lebih pintar, sekali gus menambah nilai pada keseluruhan pengalaman penggunaan.

Buat masa ini, tiada butiran perkakasan dalaman yang boleh didedahkan termasuklah saiz skrin, cip pemprosesan, kapasiti bateri dan lain-lain komponen penting. Nantikan ulasan penuh kerana ia pasti menarik untuk menguji kebolehan kecerahan sehingga 8000 nits, selain menilai prestasi peranti yang dikatakan menggunakan cip Snapdragon kelas mercu terkini. Walau apa pun, tanggapan pertama saya sangat positif, khususnya dari segi kemasan dan rekaan.

Pada aspek harga pula, dijangka terdapat sedikit peningkatan memandangkan Honor dilihat menambah sejumlah ciri baharu pada model ini, di samping mengekalkan gaya yang moden. Pada pendapat awal saya, Honor 600 Pro berpotensi untuk menarik minat ramai pengguna untuk mencuba dan memilikinya. Honor sendiri turut membuat kenyataan bahawa peranti mungkin akan mengalami sedikit peningkatan harga namun hal tersebut dijangka sepadan dengan penambahbaikan yang ditawarkan.


