Pandang Pertama Samsung Galaxy S25 FE – Edisi Mampu Milik

TechnologyDigital
4 Sep 2025 • 5:32 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ramai mungkin telah lupa siri Fan Edition (FE) dilancarkan selepas insiden Galaxy Note7 yang meletup disebabkan isu bateri. Ramai berpendapatan Galaxy Note FE akan menjadi satu-satunya peranti dalam siri ini kerana ia alasan Samsung untuk menggunakan komponen Galaxy Note7 yang belum digunakan.

Tetapi kini siri FE digunakan oleh Samsung pada peranti mercu yang ditawarkan pada harga lebih mampu milik, spesifikasi sedikit lebih rendah namun masih menawarkan nilai yang menarik. Dengan pelancaran Galaxy S25 FE hari ini, adakah ia masih layak peranti yang berbaloi bagi mereka yang tidak ingin berbelanja lebih?

Spesifikasi

Samsung Galaxy S25 FE
Skrin6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz,
FHD+, HDR10+
PemprosesExynos 2400 (4nm)
Cip1x 3.2GHz Cortex-X4
2x 2.9GHz Cortex-A720
3x 2.6GHz Cortex-A720
4x 1.95GHz Cortex-A520
Cip GrafikXclipse 940
RAM8GB LPDDR5X
Muatan Dalaman256/512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.8 OIS, (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
8MP, f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Swafoto12MP f/2.2
Bateri4900 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W Qi2
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/Telefoni1 Nano, 1 eSIM
5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM 3,099 (8/256 GB)
RM 3,699 (8/512 GB)

SKRIN dan REKAAN

Dengan skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, tidak melampau untuk mengatakan “wajah” Galaxy S25 FE ialah sama sahaja dengan Galaxy S25+. Saiznya sama tetapi tanpa teknologi LTPO dengan kadar segar semula 60Hz atau 120Hz sahaja. Bezel adalah sekata pada keempat-empat sudut dengan ia menempatkan pengimbas cap jari bawah skrin serta dilindungi kaca Gorilla Glass Victus+ yang tahan lasak. Skrin adalah dari jenis rata maka tiada isu mengenai sudut pandangan atau kandungan video melimpah ke sisi

image is not available

Estetik tubuh berkotak tiga peranti Galaxy S25 awal tahun ini digunakan kembali dengan ia mempunyai kemasan warna yang sedikit kesan bagi memberikan permukaan yang sedap dipegang. Bingkai diperbuat daripada bahan Enhanced Armor Aluminium dengan keseluruhan tubuh melepasi piawaian kalis air dan debu IP68.

image is not available

Terdapat butang kuasa dan laras audio pada sisi kanan sementara di bawah diletakkan salah satu speaker stereo, port pengecasan USB-C dan talam SIM. Talam SIM hanya menyokong satu SIM bersaiz nano dengan sambungan selular kedua perlu menggunakan eSIM. Tiada sokongan kad microSD. Panel belakang diperbuat daripada bahan seakan polikarbonat membolehkan sokongan pengecasan nirwar Qi2 15W dilakukan,.

image is not available

Kemasan tubuh Galaxy S25 FE adalah kemas dan praktikal. Tiada isu ia mengutip kotoran dengan pantas kerana ia tidak mempunyai kemasan yang berkilat. Tiga bonggol lensa kamera di belakang mempunyai kemasan cincin membuatkan ia nampak bergaya. Kewujudannya juga membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja.

Ketiga-tiga kamera tahun ini sama sahaja dengan tahun lalu iaitu sudut lebar 50MP, ultra lebar 12MO dan telefoto optikal 3X 8MP. Yang diubah hanya kamera hadapan kini 12MP. Sudah menjadi tema Samsung tahun ini perkakasan kamera tidak diubah.

image is not available

Bateri tahun ini sebesar 4900 mAh yang lebih besar berbanding 4700 mAh pada Galaxy S24 FE. Selain lebih besar ia juga menyokong pengecasan 45W yang lebih pantas berbanding hanya 25W tahun lalu. Seperti yang telah saya sentuh di atas, peranti menyokong pengecasan Qi2 dan PowerShare secara berbalik.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

image is not available

Sistem operasi One UI 8 berasaskan Android 16 digunakan. Ini menjadikan Galaxy S25 FE peranti keempat daripada Samsung dilancarkan dengan sistem operasi terkini selepas siri Z Fold7 dan Z Flip7 tempoh hari. Saya difahamkan kemas kini One UI untuk Galaxy S25, Galaxy S25+ dan Galaxy S25 Ultra hanya akan tiba di Malaysia pada penghujung bulan ini. Jadi agak lucu peranti yang paling kurang berkuasa dalam keluarga S25 lebih awal menerima Android 16.

image is not available

Peranti beroperasi dengan lancar walaupun sekadar dilengkapi Exynos 2400 yang merupakan cip tahun lalu. Saya agak kecewa sebenarnya kerana mengharapkan Exynos 2500 digunakan. Ia sekadar kemas kini kecil berbanding Exynos 2400e pada Galaxy S24 FE. Memori sehingga 8GB RAM LPDDR5x dan storan sehingga 512GB UFS 4.0.

Bercakap mengenai RAM, ciri RAM Plus boleh menambah memori sehingga 8GB secara maya. Ia boleh dimatikan jika pemilik tidak mahu sebahagian storan diambil untuk menambah RAM. Terdapat juga pilihan hanya menambah 2, 4, dan 6 GB RAM maya.

image is not available

Semua ciri-ciri Galaxy AI seperti Translate, Writing Assist, Sketch Assist, Now Bar, Now Brief dan Circle to Search turut disertakan sekali. Yang baharu ialah Google Gemini dan Gemini Voice boleh diseru menggunakan butang kuasa.

image is not available

Kekuatan Samsung masih lagi terletak pada perisian kerana Galaxy S25 FE akan menerima sokongan 7 kemas kini versi sistem operasi Android serta tampalan sekuriti selama 7 tahun yang jauh lebih lama berbanding pengeluar peranti Android lain kecuali Google Pixel.

KESIMPULAN

Samsung Galaxy S25 FE pada hemat saya boleh juga diberikan nama sandaran Galaxy S25+ Lite. Ia adalah peranti yang hampir sama dari segi rekabentuk, ciri, bateri dan kemampuannya. Perbezaan hanyalah S25 FE dilengkapi cip kurang berkuasa, saiz RAM lebih kecil dan sensor kamera telefoto lebih kecil. Kelebihan Galaxy S25 FE ialah ia sudahpun menggunakan Android 16.

image is not available

Dalam penggunaan yang agak singkat, prestasi melancarkan aplikasi, kelancaran antaramuka dan ciri Galaxy AI yang ditawarkan adalah setanding Galaxy S25 yang lain dan juga Z Fold7. Dengan harga jualan bermula RM7799 (12/256GB), Samsung Galaxy S25 FE adalah model Galaxy S25 paling mampu milik di pasaran tempatan.

Pro

  • Rekaan kemas dan premium.
  • Menggunakan One UI 8 berasaskan Android 16.
  • Kalis air IP68
  • Sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.
  • Bateri lebih besar dan pengecasan lebih pantas.

Kontra

  • Tiada penaiktarafan sensor kamera utama.
  • Sekadar 8GB RAM
  • Cip sekadar Exynos 2400