Pandang Pertama TECNO SPARK Slim – Ini Baru Mengujakan!

TechnologyDigital
4 Mar 2025 • 4:33 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tahun 2025 adalah tahun di mana pengeluar peranti kembali berperang siapa yang boleh menghasilkan telefon pintar paling nipis. Memori saya masih segar ketika zaman iPhone 6 yang boleh dikatakan era terakhir perang peranti nipis. Terbaru di MWC Barcelona 2025 adalah TECNO SPARK Slim.

image is not available

PENGALAMAN PENGGUNAAN

TECNO SPARK Slim adalah sebuah peranti kelas pertengahan premium. Ia dijana oleh cip misteri dengan 8-teras, memori 8GB RAM dengan sokongan memori maya, dwi-kamera 50MP, kamera swafoto 13MP, rekaan peranti dengan bonggol kamera panjang dan mempunyai kesan nyalaan LED seakan watak filem animasi Disney – Baymax.

image is not available

Peranti ini turut lengkap dengan ciri AI seperti Ella Voice baharu, integrasi DeepSeek dan banyak lagi. Peranti turut hanya mempunyai ketebalan 5.75mm. Ini adalah seakan iPhone 17 Air nanti, iaitu bawah 6mm yang jelas sekali lebih nipis berbanding Galaxy S25 Edge. Walau bagaimanapun, ia masih agak tebal jika dibandingkan dengan Oppo Find N5 dalam keadaan terbuka. Tiada sebarang butang fizikal tambahan, peranti dilihat hanya menyokong eSIM dan tiada slot kad SIM fizikal.

image is not available

Di dalam tangan, peranti rasa sangat aneh kerana ia sangat ringan dan terasa seakan memegang sejenis telefon permainan sahaja. Saya kurang menggemari kemasan plastik berkilat yang sangat licin dan mudah calar, selain turut tidak gemar melihat rekaan melengkung pada tahun 2025. Saya berharap, peranti ini kelak boleh menggunakan bahan binaan seperti titanium atau aluminium, untuk perasaan memegang yang lebih sejuk serta lebih rasa mewah.

Tidak banyak boleh diuji pada peranti ini kerana ia sekadar sebuah prototaip sahaja. Namun, dalam penggunaan singkat – saya dapat rasakan yang ia akan menawarkan pengalaman penggunaan seakan sebuah peranti TECNO yang biasa tetapi dalam tubuh yang sedikit unik dan nipis. Perisian mereka tidak menawarkan sebarang ciri unik selain animasi pada bonggol kamera.

KESIMPULAN

Untuk sebuah peranti kelas pertengahan seperti ini, ia sememangnya adalah sebuah peranti yang unik. Cuma untuk penggunaan jangka masa panjang, ia mendatangkan kerisauan mengenai ketahanan tubuh peranti. Peranti seperti ini biasanya sangat mudah mengalami masalah skrin retak, peranti patah dua dan sebagainya jika disimpan di dalam ruangan sempit atau peranti terkena dengan tekanan yang tidak begitu berat.

image is not available

Apa-apa pun, TECNO jelas sekali dilihat sudah bersedia untuk menawarkan peranti ini kepada umum kerana hanya mereka yang membenarkan kami menguji dan memegang peranti ini. Samsung Galaxy S25 Edge hanya menjadi seakan pameran seni dan melihat depan mata adalah mengecewakan. Yang mana satu akan menjadi peranti nipis pilihan anda, Samsung Galaxy S25 Edge, iPhone 17 Air atau TECNO SPARK Slim?

PRO & KELEBIHAN

  • Sangat nipis dan cool.
  • Bonggol kamera seakan ada animasi dan personaliti.
  • Prestasi mantap setakat cubaan penggunaan singkat.
  • Lengkap dengan ciri AI.

KONTRA & KEKURANGAN

  • Rekaan aneh, dan banyak yang perlu dibaiki.
  • Bukan peranti mercu.
  • Rekaan dan tubuh yang boleh dirasai tidak akan tahan lama.