Pandu bahaya hingga sebabkan kematian guru agama, mekanik dipenjara lima tahun

18 Sep 2026 • 2:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pandu bahaya hingga sebabkan kematian guru agama, mekanik dipenjara lima tahun

SHAH ALAM, 18 SEPT: Seorang mekanik dihukum penjara lima tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau, selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang guru agama, April tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh, Mohd Ridzal Jaibi Abdullah, 40, digantung selama lima tahun berkuat kuasa hari ini, lapor Berita Harian.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM50,000.

Mohd Ridzal, bapa kepada tiga anak, didakwa memandu pikap Mitsubishi Triton secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Bahauddin, 30.

Perbicaraan kes bermula 4 Mei lalu dan berakhir pada 11 Ogos, dengan pihak pendakwaan memanggil enam saksi manakala pembelaan mengemukakan empat saksi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh diwakili peguam Raz Aziera Ronald.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda, selain sabitan kesalahan itu diendoskan pada lesen memandunya.

Peguam tertuduh kemudian memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu dibantah pihak pendakwaan, namun mahkamah membenarkannya dengan jaminan RM5,000 bersama dua penjamin tempatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved