
KOTA BHARU – Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyepak anaknya yang berusia lima tahun di sebuah restoran ala Thailand minggu lalu.
Tertuduh, Mohamed Nisa Mohamed Nasir, 40, membuat pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai bapa kandung kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiga bulan didakwa menganiaya mangsa dengan cara menyepaknya menggunakan kaki.
Perbuatan itu dilakukan di Restoran Baan Suwarin, Batu 2, Jalan Kuala Krai di sini pada pukul 10.55 malam, 11 September lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri.
Terdahulu, Syazalia tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu melibatkan kanak-kanak selain terdapat kebarangkalian tinggi untuk tertuduh berhubung dengan mangsa.
Zuhaidie Akmal bagaimanapun merayu ikat jamin yang rendah dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dengan menjaga isteri dan tiga anak.
“Tertuduh bekerja sebagai anggota tentera manakala isterinya tidak bekerja. Isteri tertuduh merupakan pesakit buah pinggang tahap lima dan memerlukan rawatan hemodialisis dua hingga tiga kali seminggu di hospital.
“Tertuduh juga bukan pendera atau melakukan keganasan rumah tangga. Anak yang dikatakan mangsa (dalam kejadian) juga hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu saksi terutama mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat setiap dua bulan.
Mahkamah menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang lelaki bertindak kasar apabila menyepak kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya di sebuah restoran masakan ala Thailand di Telipot di sini pada Jumaat lalu.
Video itu dimuat naik pemilik premis terbabit menerusi akaun Facebook sebelum tular di media sosial.-KOSMO! ONLINE
The post Sepak anak di restoran: Anggota tentera mengaku tidak bersalah appeared first on Kosmo Online.






