
SEPANG: Seorang penjawat awam lelaki berusia 40-an ditahan selepas dikesan memandu kereta dengan melawan arus sejauh kira-kira 30 meter di susur masuk ke Lebuhraya MEX, Lingkaran Putrajaya, di sini, Sabtu lalu.
Kejadian itu dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang selepas video berdurasi 25 saat mengenainya tular di Facebook Dashcam Owner Malaysia, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya mengesan video itu kira-kira 10.30 pagi semalam sebelum mengesan pemandu dan kenderaan terbabit.
“Pemandu dan kenderaan berjaya dikesan sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan mendapati lelaki itu memandu dari Putrajaya menuju Puchong sebelum dipercayai terlepas laluan ke Plaza Tol MEX (Putrajaya).
Norhizam berkata, lelaki itu kemudian membuat pusingan untuk berpatah balik dengan memandu melawan arus bagi mendapatkan semula laluan ke Puchong.
“Pemandu itu memasang lampu kecemasan dan bergerak perlahan sejauh kira-kira 30 meter sebelum memasuki laluan menuju Puchong.
“Lelaki terbabit memiliki lesen memandu yang masih sah. Kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan. – UTUSAN
The post Pandu lawan arus sejauh 30 meter, penjawat awam ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






