
JOHOR BAHRU: Lelaki yang bertindak mencuri dan memandu sebuah lori berwarna hijau sejauh kira-kira 100 kilometer sebelum ditahan polis di sekitar Pasir Gudang, semalam direman selama tiga hari, bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Tan Chiew King di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
Perintah itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Suspek berusia 30-an itu turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya dan Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya dalam badan.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan memakai baju berwarna hitam.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, suspek disyaki melarikan sebuah lori di Plentong kira-kira jam 7.20 pagi, sebelum berjaya ditahan polis tiga jam kemudian.
Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 27 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah selain turut positif dadah jenis methamphetamine.-UTUSAN
The post Suspek curi lori berwarna hijau direman tiga hari appeared first on Utusan Malaysia.






