Seramai 150 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) sempena Sambutan Hari ATM Ke-93 pada Selasa.
Markas ATM menerusi satu kenyataan berkata, Istiadat Pengurniaan DKAT Tahun 2026 itu disempurnakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Balairung Seri Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pengurniaan berkenaan menjadi pengiktirafan terhadap jasa, khidmat dan pengorbanan pegawai serta anggota lain-lain pangkat ATM dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Selain warga ATM, pengurniaan turut melibatkan penerima dari negara asing sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta hubungan pertahanan yang terjalin antara Malaysia dan negara berkenaan.
Dalam istiadat itu, Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan bin Haji Md Othman.

Bagi kategori PGAT Kehormat pula, penerimanya ialah Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Ukris Boontanondhat; Panglima Tentera Laut Republik Singapura, Laksamana Muda Sean Wat; Panglima Tentera Udara Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud serta Panglima Tentera Udara Filipina, Leftenan Jeneral Arthur Mirasol Cordura.
Pada istiadat sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 22 penerima.
Darjah Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) pula dikurniakan kepada 30 penerima, manakala Darjah Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 49 penerima dan Darjah Bentara Angkatan Tentera (BAT) kepada 43 penerima.

Secara keseluruhan, seramai 640 penerima dianugerahkan DKAT Tahun 2026 menerusi dua sesi pengurniaan.
Sesi pertama yang berlangsung hari ini melibatkan 150 penerima dan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, manakala sesi kedua dijadualkan pada 22 Oktober ini di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.
Sesi kedua itu membabitkan 490 penerima dan akan disempurnakan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Selain Mohamed Khaled, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima-Panglima Perkhidmatan serta pegawai kanan ATM dan Kementerian Pertahanan.
The post Panglima ATM, Tentera Darat Dikurnia PGAT Pada Istiadat DKAT 2026 appeared first on Borak Daily.






