
PETALING JAYA – Gara-gara dipercayai terlupa meletakkan gear pada kedudukan ‘P’, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bergerak sendiri sebelum merempuh pintu kaca Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, pemandu wanita berusia 66 tahun berkenaan berhenti di lorong kedua di hadapan bangunan KKIA untuk menjemput anaknya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai terlupa meletakkan gear kenderaan pada kedudukan ‘P’ ketika hendak bertukar pemandu.
“Ketika cuba keluar, SUV berkenaan mula bergerak perlahan menyebabkan wanita itu panik sebelum secara tidak sengaja menekan pedal minyak.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan meluncur laju ke hadapan dan melanggar sebuah kenderaan lain.
“SUV berkenaan kemudian terbabas merempuh pintu kaca bahagian pelepasan KKIA sebelum melanggar sebuah tiang bangunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, wanita berkenaan sempat keluar dari SUV sebelum pelanggaran berlaku, namun mengalami kecederaan ringan pada muka akibat terkena serpihan kaca.
Katanya, mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan insiden sebuah SUV putih merempuh pintu masuk terminal di Aras 3, KKIA, sehingga mencetuskan panik orang ramai.
Kejadian itu tular selepas beberapa pengguna Threads berkongsi gambar dan rakaman memaparkan SUV berkenaan berada di dalam kawasan terminal dalam keadaan bahagian hadapan rosak, selain serpihan kaca bertaburan di atas kenderaan serta lantai terminal dipercayai selepas merempuh pintu masuk berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Panik, tersalah tekan minyak punca SUV rempuh KKIA appeared first on Kosmo Digital.






![[VIDEO] Tertelan pedal minyak, SUV terbabas ‘masuk’ KKIA](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/photo-output-12-1024x768.jpeg)