
Selepas hampir setahun menanti, Apple akhirnya kembali dengan barisan iPhone terbaharu menerusi siri iPhone 18 Pro dan Pro Max.
Model terkini Apple itu diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia hari ini, dengan pelbagai peningkatan termasuk sistem kamera, ketahanan bateri dan prestasi peranti.
Susulan pelancaran tersebut, suasana di Apple Store TRX turut mencuri perhatian apabila orang ramai dilihat sudah mula beratur seawal pagi untuk mendapatkan peranti yang telah ditempah menerusi pra-tempahan.
Barisan panjang demi iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max
Menerusi tinjauan SK di Threads, beberapa pengguna berkongsi video dan gambar yang menunjukkan barisan panjang di Apple Store TRX, dengan sebahagian daripada mereka hadir untuk mengambil pesanan iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max.
Suasana berkenaan turut mencuri perhatian netizen yang terkejut melihat panjangnya barisan pada hari pertama pengambilan peranti tersebut.
Difahamkan, ada yang sudah ada di sana seawal 4 pagi, sekaligus menjadi antara yang terawal di Malaysia yang dapat menyentuh peranti kelas atasan mewah itu.
Keadaan itu semakin meriah apabila perkongsian @_serraaa di Threads pada 5.50 pagi turut menunjukkan ratusan pelanggan sudah memenuhi kawasan Apple Store TRX untuk mendapatkan iPhone terbaharu mereka.
Tidak terhenti di situ, pengguna Threads @hidayahkhld turut berkongsi suasana kira-kira sejam kemudian, pada 6.50 pagi, yang memperlihatkan barisan semakin panjang dengan jumlah orang ramai terus bertambah.
Tinjauan SK di Threads mendapati barisan panjang di Apple Store TRX bukan hanya dipenuhi mereka yang mahu membuat ‘pickup’ pesanan.
Apple Lancar iPhone 18 Pro & 18 Pro Max, Ini Senarai Harganya
Apple Lancar iPhone Duo, Telefon Boleh Lipat Pertama Syarikatnya
Ada yang hadir kerana mahu melihat sendiri peranti terbaharu itu secara bersemuka, selain tidak mahu ketinggalan merasai ‘vibe’ hangat suasana pelancaran iPhone terbaharu Apple.
Tidak kurang juga yang sanggup beratur bagi mendapatkan manfaat daripada tawaran rebat yang tersedia untuk pembelian peranti berkenaan.
Difahamkan, tawaran rebat itu hanya diberikan kepada pelanggan terawal dan sah sehingga 31 Disember 2026, dengan setiap merchant mempunyai kuota rebat tersendiri.
Keadaan itu mungkin menjadi antara sebab sesetengah pelanggan sanggup hadir lebih awal dan beratur panjang bagi memastikan mereka tidak terlepas tawaran berkenaan.


![[VIDEO] 4 pagi dah beratur nak beli iPhone 18 Pro](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-18-at-10.09.35-AM-1024x685.jpeg)
