
ATHENS: Sebuah pantai bertaraf ‘syurga’ di Greece digambarkan sebagai ‘neraka dunia’ selepas kawasan berkenaan diserbu secara luar biasa oleh ribuan pelancong bulan lalu.
Rakaman video dari Pantai Balos, yang terletak di hujung barat laut Pulau Crete, menunjukkan lokasi berkenaan dibanjiri pelawat tanpa henti.
Meskipun keseluruhan kawasan pesisir pantai sudah dipenuhi pelancong hingga sesak, lebih ramai pelawat terus tiba menggunakan bot.
Jumlah pengunjung yang terlalu ramai menyebabkan tiada siapa yang mampu bergerak dengan selesa di pantai berkenaan.
Pantai Balos sememangnya terkenal dengan keindahan air laut biru dan pemandangan memukau yang menarik ribuan pelawat setiap tahun.
Laporan media tempatan mendedahkan bahawa pihak berkuasa kini dalam usaha mengehadkan jumlah kemasukan pelawat demi memelihara kelestarian alam sekitar.
Cadangan baharu mengesyorkan hanya 1,200 pelawat sahaja dibenarkan berada di pesisir pantai dalam tempoh setiap tiga jam, sama ada mereka tiba menggunakan perkhidmatan bot mahupun kenderaan darat.
Bukan sahaja di Crete, pelbagai lokasi popular di seluruh Greece turut dibanjiri pelancong pada musim panas bulan lalu.
Barisan beratur selama dua jam telah mencetuskan kesesakan di lorong-lorong sempit Oia, sebuah perkampungan tebing tinggi yang terkenal semata-mata untuk mendapatkan sudut fotografi terbaik.
Beberapa rakaman video mengejutkan yang dimuat naik di media sosial musim panas, membongkar realiti sebenar pulau Aegean yang dahulunya tenang tetapi kini menyaksikan lebih 2.4 juta pengunjung melalui lapangan terbangnya setiap tahun. – AGENSI
The post Pantai ‘syurga’ Greece kini ‘neraka dunia’ selepas terlalu padat dikunjungi pelancong appeared first on Utusan Malaysia.






