
SHAH ALAM, 10 SEPT: Kontinjen Selangor menutup tirai saingan renang Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila mengumpul keseluruhan 34 pingat emas, enam perak dan 20 gangsa sepanjang empat hari pertandingan di Pusat Akuatik Selangor.
Kutipan itu menyaksikan skuad tuan rumah muncul sebagai kontinjen paling cemerlang dalam acara renang dengan keseluruhan 60 pingat, sekali gus mengukuhkan penguasaan Selangor di kolam renang sepanjang saingan yang berlangsung dari 7 hingga 10 September.
Selangor turut meninggalkan pencabar terdekat, Sabah yang mengumpul 16 emas, 14 perak dan 10 gangsa, manakala Sarawak berada di tempat ketiga dengan 10 emas, lima perak dan 10 gangsa.
Pada hari keempat saingan, Selangor menambah tujuh emas menerusi Alysha Aryana Mohd Khairul Azli dalam acara 200m Rampaian Individu SM14, Amirul Akil Bin Mohd I’zzat Emir (100m Kuak Dada SB12), Saiful Rizal Abdullah (100m Kuak Dada SB14), Muhammad Safwan Suhaimi (100m Kuak Lentang S9) dan Ahmad Darwisy Irfan Hishamuddin 100m Gaya Bebas S13.
Selain itu, Selangor turut medominasi dua acara berpasukan yang dipertandingkan dengan meraih emas bagi acara 4x100 Gaya Bebas Campuran 34 Mata dan 4 x 100m Rampaian S14.
Prestasi konsisten sepanjang empat hari saingan menyaksikan perenang Selangor berjaya menyumbang emas menerusi acara individu dan berpasukan, selain beberapa kejayaan mencatat rekod kebangsaan serta rekod kejohanan.
Kejayaan itu juga melengkapkan satu lagi sumbangan besar skuad renang kepada kontinjen Selangor dalam usaha mencipta kecemerlangan pada temasya Para Sukma kali ini.
Dengan berakhirnya saingan hari keempat, tirai acara renang Para Sukma Selangor 2026 secara rasmi dilabuhkan selepas menyaksikan persaingan sengit antara perenang dari seluruh negara di Pusat Akuatik Selangor.






