Para SUKMA: Saiful Rizal raih empat emas, catat rekod peribadi baharu

10 Sep 2026 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Para SUKMA: Saiful Rizal raih empat emas, catat rekod peribadi baharu

SHAH ALAM, 10 SEPT: Atlet para renang Selangor Saiful Rizal Abdullah menutup saingan Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila meraih empat pingat emas selain mencatat rekod peribadi baharu.

Saiful Rizal beraksi dalam acara 100 meter kuak dada SB14, 50m kuak dada SB14, 4 x 100m gaya bebas S14 dan 4 x 100m rampaian S14 sepanjang kejohanan berkenaan.

Menurutnya, pencapaian itu sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan sebelum turun beraksi membawa cabaran Selangor.

“Alhamdulillah, sasaran saya berjaya tercapai. Saya berjaya buat rekod peribadi baharu dan mendapatkan emas untuk Selangor dan diri sendiri.

“Untuk acara individu saya dapat dua emas dan dalam acara berpasukan saya dapat dua emas,” katanya.

Saiful Rizal berkata cabaran terbesar sepanjang kejohanan adalah mengekalkan konsistensi bagi memastikan sasaran memecahkan catatan peribadi dapat direalisasikan.

Katanya, keadaan mental dan fizikal yang ada kalanya keletihan turut menguji dirinya, namun beliau bersyukur kerana tetap mampu memberikan prestasi terbaik dalam setiap perlumbaan.

“Cabaran terbesar saya adalah untuk konsisten bagi memecahkan rekod peribadi. Memang agak susah kerana ada hari mental dan fizikal penat, tapi alhamdulillah berjaya,” katanya.

Saiful Rizal turut mengakui sokongan barisan jurulatih serta ibu bapa menjadi antara sumber kekuatan utama sepanjang persiapannya menghadapi saingan, selain disiplin dan motivasi diri untuk terus kekal fokus.

“Untuk dapatkan kekuatan, kena dapatkan restu daripada 'coach' dan ibu bapa, disiplin dan kena ada moto diri sendiri. Moto saya, ‘enjoy the process, enjoy the pain dan enjoy the result’,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved