
SHAH ALAM, 10 SEPT: Kontinjen Selangor kini mendahului kutipan pingat emas Para SUKMA dengan 92 emas, sekali gus berada di landasan untuk melakar pencapaian terbaik negeri dalam temasya berkenaan.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata kedudukan itu membuka peluang kepada Selangor untuk muncul juara keseluruhan buat kali pertama sejak Para SUKMA diperkenalkan pada 1982.
“Kejayaan ini akan lebih bermakna sekiranya Selangor mampu dinobatkan sebagai juara keseluruhan ketika menjadi tuan rumah temasya kali ini.
“Kalau kita dapat menjadi juara keseluruhan ketika menjadi tuan rumah, ia tentunya satu pencapaian yang sangat bermakna buat Selangor,” katanya ketika ditemui pada liputan sidang media di Dewan Raja Musa, hari ini.
Mohd Najwan berkata prestasi memberangsangkan kontinjen tahun ini turut didorong perubahan dalam pengurusan apabila latihan dan pengurusan atlet diambil alih Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).
Katanya, sebelum ini pengurusan Kontinjen Para SUKMA Selangor dilaksanakan secara sendiri, namun penyelarasan yang lebih sistematik oleh MSNS tahun ini membantu menyediakan latihan secara berkala dan tersusun.
“Pelaksanaan latihan secara berkala dan lebih tersusun membuktikan atlet para Selangor mempunyai potensi besar untuk diketengahkan, sekali gus menyumbang kepada pencapaian yang membanggakan pada temasya kali ini.
“Bukan atlet SUKMA sahaja yang perlu diberi sokongan, tetapi atlet Para SUKMA juga wajar diberikan perhatian dan peluang yang setara,” katanya.
Acara renang menjadi penyumbang terbesar kepada kutipan emas Selangor dengan 34 pingat, sekali gus meneruskan prestasi kukuh negeri dalam acara berkenaan pada temasya SUKMA dan Para SUKMA.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata pencapaian kontinjen itu turut didukung komitmen menyeluruh daripada atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pegawai teknikal dan perubatan serta pasukan sokongan, termasuk Ketua Kontinjen dan Timbalan-Timbalan Ketua Kontinjen.
“Kejayaan pembangunan sukan para Selangor juga tidak terhad kepada persiapan menghadapi Para SUKMA, sebaliknya membabitkan kerjasama MSNS, persatuan sukan, agensi Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun, anak syarikat Kerajaan Negeri dan rakan strategik.
“Sokongan ibu bapa dan keluarga atlet juga amat penting dalam memastikan pembangunan serta prestasi atlet dapat dipertingkatkan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata pencapaian atlet Selangor turut dapat dilihat di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), membuktikan pembangunan sukan negeri berlaku secara berperingkat dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi.
Katanya, kejayaan dalam Para SUKMA bukan semata-mata diukur berdasarkan kutipan pingat, sebaliknya turut mengambil kira prestasi individu atlet termasuk pencapaian memecahkan rekod kebangsaan.






