Para SUKMA medan lahirkan pelapis ke pentas antarabangsa - MB

11 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 11 SEPT: Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 disasarkan menjadi medan mencungkil bakat baharu yang mampu membawa cabaran negara hingga ke pentas Paralimpik dan kejuaraan dunia.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasrat itu antara matlamat utama Selangor sebagai tuan rumah, termasuk menetapkan had umur atlet bawah 40 tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai pelapis membina pengalaman serta mengembangkan potensi.

Image from: Para SUKMA medan lahirkan pelapis ke pentas antarabangsa - MB
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penutup Para Sukma Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 10 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Harapan saya barisan atlet istimewa ini akan mewarnai persaingan di peringkat yang lebih tinggi hingga ke peringkat paralimpik pada masa hadapan dan bergelar juara dunia suatu hari nanti.

“Itu sememangnya menjadi hasrat Selangor menjadi tuan rumah dengan menghadkan kategori umur kepada bawah 40 tahun sekali gus dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu yang lebih kompetitif dan mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Para SUKMA 2026 di Selangor International Trade Centre di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi serta Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Image from: Para SUKMA medan lahirkan pelapis ke pentas antarabangsa - MB
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menyerahkan bendera kejohanan kepada Menteri Besar Kelantan Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud ketika majlis penutup Para Sukma Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 10 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata penyertaan 1,352 atlet para dari seluruh negara dalam 10 jenis sukan membuktikan Para SUKMA mampu menjadi platform penting untuk atlet menguji kemampuan, membina pengalaman dan melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, Selangor tetap berbangga sekiranya bakat yang menyerlah menerusi temasya itu bukan dari negeri berkenaan kerana kejayaan mereka turut mencerminkan keberkesanan platform yang disediakan.

“Jika atlet tersebut bukannya datang daripada Selangor sekalipun, negeri ini tetap berbangga kerana bakat-bakat tersebut lahir daripada Para SUKMA Selangor 2026.

“Semangat mereka memang luar biasa, perjuangan dan pengorbanan mereka lebih istimewa kerana kekurangan yang ada dalam setiap atlet ini tidak menjadi penghalang kepada kemahuan dan perjuangan mereka untuk berjaya dan menempa nama,” katanya.

Menurut Amirudin, semangat juang atlet para turut terserlah ketika temasya berdepan cabaran jerebu yang menyebabkan beberapa acara pertandingan ditangguhkan.

Beliau berkata keadaan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat atlet untuk terus membuat persediaan dan memberikan saingan terbaik sepanjang temasya.

Image from: Para SUKMA medan lahirkan pelapis ke pentas antarabangsa - MB
Kontijen atlet Para Sukma Selangor masuk kedalam dewan ketika majlis penutup Para Sukma Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 10 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Amirudin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan SUKMA Selangor ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026.

Katanya, walaupun penganjuran dilaksanakan secara berhemah, pengalaman terbaik buat atlet dan kontinjen tetap diberi perhatian.

“Paling penting dengan temasya ini ukhuwah dan tanda persahabatan kekal terjalin walaupun persaingan tetap hebat di gelanggang pertandingan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved