Paradigm REIT sasar kumpul RM560 juta daripada IPO Pasaran Utama

LocalBusiness & Finance
16 May 2025 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Paradigm REIT sasar kumpul RM560 juta daripada IPO Pasaran Utama

image is not available

16/05/2025 - 15:00

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Mei - Paradigm Real Estate Investment Trust (REIT), melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM560 juta.

Paradigm REIT tidak akan menerima sebarang hasil tunai daripada IPO itu kerana tiada unit baharu diterbitkan.

Keseluruhan hasil kutipan sebanyak RM560 juta akan diberikan kepada WCT Holdings Bhd, iaitu penaja kepada REIT tersebut.

"Harga awal IPO ditetapkan pada RM1 seunit dan dibuka kepada pelabur biasa dan pelabur institusi.

"Harga sebenar akan ditentukan berdasarkan harga paling rendah antara kedua-dua jenis pelabur," demikian menurut prospektus yang dikeluarkan hari ini.

Pulangan hasil tahunan yang dijangka bagi tahun 2025 adalah lebih 7% berdasarkan harga runcit RM1 seunit.

Harga akhir akan diumumkan pada 27 Mei 2025 dan syarikat akan disenaraikan di pasaran pada 10 Jun 2025.

Orang ramai boleh mula memohon sehingga 23 Mei 2025.

Sebanyak 194.86 juta unit diperuntukkan kepada pemegang saham WCT, individu yang layak (27.80 juta unit) dan orang awam di Malaysia (32 juta unit).

Bagi pelabur institusi pula, sebanyak 305.34 juta unit saham ditawarkan melalui proses bidaan harga.

Daripada jumlah itu, sejumlah 200 juta unit dikhaskan kepada pelabur Bumiputera, manakala 105.34 juta unit lagi untuk pelabur institusi lain dan pelabur terpilih.

Selepas syarikat disenaraikan, Pengerusi Eksekutif WCT, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon akan memiliki 65% saham dalam Paradigm secara tidak langsung melalui dua syarikat miliknya, iaitu Dominion Nexus Sdn Bhd dan Legacy Pacific Ltd.

Paradigm memiliki dan mengurus tiga pusat membeli-belah iaitu Bukit Tinggi Shopping Centre, Paradigm Mall Petaling Jaya dan Paradigm Mall Johor Bahru.

Ketiga-tiga pusat membeli-belah berkenaan bernilai RM2.4 bilion dan kini mempunyai kadar penghunian yang penuh atau hampir penuh.

Maybank bertindak sebagai penasihat utama dan pengurus utama proses penawaran.

CGS International dan AmInvestment Bank pula menjadi penaja jamin bersama, manakala RHB Investment Bank turut membantu dalam proses jualan kepada pelabur. - DagangNews.com

standard