liza25/05/2026 - 18:09 KUALA LUMPUR 25 Mei – Paramount Corporation Bhd menyasarkan jualan hartanah sebanyak RM1.2 bilion tahun ini, disokong oleh pelancaran projek baharu, pengambilan semula tanah secara aktif serta strategi untuk mengukuhkan keuntungan dalam jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif, Jeffrey Chew Sun Teong berkata kumpulan itu menyasarkan pelancaran tahunan antara RM1 bilion hingga RM1.5 bilion, disokong oleh projek di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Kedah.
“Kami masih memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah, khususnya kediaman,” katanya kepada taklimat media hari ini.
Chew berkata Paramount mengekalkan nisbah 70:30 antara pembangunan bertingkat dan kediaman bertanah, selaras dengan permintaan pasaran serta rangkaian projek sedia ada kumpulan itu.
Kumpulan itu turut menyasarkan untuk mencapai pulangan atas ekuiti (ROE) sekurang-kurangnya 10 peratus menjelang 2030, berbanding 8.3 peratus pada tahun kewangan 2025.
Bagi pengembangan bank tanah, beliau berkata Paramount telah melaksanakan pengambilan semula tanah secara aktif sejak 2024 dengan bank tanah baharu itu mempunyai potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4 bilion.
“Pengambilan semula tanah ini akan menyokong pelancaran masa depan kami dan memberi visibiliti terhadap rangkaian pembangunan kumpulan dalam tempoh sederhana,” katanya.
Beliau berkata permintaan dalam pasaran hartanah kekal bersegmen, dengan pembeli yang ingin menaik taraf kediaman baharu menjadi lebih berhati-hati, manakala segmen rumah mampu milik dan rumah pertama kekal kukuh.
“Ramai yang sedang mengambil pendekatan tunggu dan lihat, khususnya dalam cadangan berpindah ke rumah baharu atau lebih besar.
“Sebahagian pembeli menangguhkan rancangan untuk berpindah ke rumah lebih besar berikutan kebimbangan terhadap kestabilan pendapatan, bekalan bahan api dan ketidaktentuan ekonomi secara umum.
“Jadi kenapa nak berpindah rumah lain? Duduk dulu, jangan ambil risiko tambahan. Jadi pasaran rumah lebih besar yang terkesan,” katanya.
Namun begitu, segmen rumah pertama kekal disokong oleh pembeli rumah kali pertama, penyewa dan pasangan baharu yang memerlukan kediaman sendiri.
“Segmen lain yang tidak terjejas ialah rumah pertama, pembeli rumah pertama walaupun sebahagian pembeli bimbang harga bahan mentah mungkin meningkat dan menyebabkan harga rumah menjadi lebih mahal pada masa depan.
“Dalam jangka panjang, akan ada orang yang masih perlu membeli rumah. Akhirnya, mereka mungkin menyewa dahulu sebelum membeli, atau mereka akan terus tinggal di rumah sedia ada dan menunggu keadaan menjadi lebih stabil,” tambahnya. – BERNAMA





