
PERKAHWINAN dua pempengaruh, Parisa Ardina dan Sam Lim terus menjadi bualan ramai. Menerusi satu sesi live, Parisa menjawab pertanyaan warganet mengenai proses pengislaman Sam atau nama Islamnya Muhammad Zavian Lim Bin Abdullah yang disifatkan mudah.
Personaliti media sosial itu menjelaskan bahawa individu yang ingin memeluk Islam hanya perlu hadir ke Jabatan Agama Islam, mengisi dan menandatangani borang-borang berkaitan.
"Jika ingin memeluk Islam, pergi sahaja ke Jabatan Agama Islam dan maklumkan yang anda convert to Islam.
"Nanti mereka akan minta isi borang dan tandatangan dokumen yang diperlukan," kongsinya.
Menurutnya lagi, antara dokumen yang diperlukan ialah penyata akaun bank bagi proses penyaluran bantuan kepada golongan mualaf.

"Jangan lupa bawa bank statement kerana ia diperlukan untuk urusan bantuan kewangan.
"Selepas itu, perlu isi borang rasmi masuk Islam dan dokumen tersebut akan disahkan.
"Kemudian, awak perlu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengemaskini kad pengenalan.
"Kena bawa bank statement juga sebab bagi mualaf, akan dapat bantuan kewangan sebanyak RM3,000.
"RM1,500 diberikan semasa pendaftaran, dan RM1,500 lagi selepas menghadiri kelas fardu ain.
"Mualaf juga biasanya akan menerima bantuan lain seperti al-Quran, sejadah, kain pelikat dan kurta," tutur Parisa.
Dalam pada itu, Parisa juga mendedahkan Sam masih dalam proses mempelajari tentang Islam.
Jelasnya, Sam tidak wajar diberi tekanan untuk menjadi Muslim sempurna dalam waktu yang singkat.
"Suami saya pun masih dalam proses belajar lagi. Dia pun masih baru, jadi tidak perlu mengharapkan dia sudah benar-benar memahami semuanya seperti seorang Muslim yang lama.
"Asalkan ada keinginan untuk belajar, itu sudah memadai," kongsinya.
Dalam masa yang sama, Parisa juga memohon orang ramai agar tidak terlalu menghukum mualaf.
"Jadi, janganlah kecam dia selepas ini, seperti berkata ‘Dah masuk Islam, kenapa masih macam ini atau macam itu’.
"Sam Lim masih baru dan sedang dalam proses belajar.
"Saya sendiri pun masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
"Alhamdulillah, urusan kami juga dipermudahkan.
"Proses kami pun menjadi lebih mudah dan berjalan dengan lancar," kongsinya.
Terdahulu, Sam dan Parisa diijab kabul pada 10 April 2026.
Sumber: TikTok
