Parlimen Dedah Kecuaian Tabung Haji 2014-2020

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Parlimen Dedah Kecuaian Tabung Haji 2014-2020

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan beberapa kelemahan serius dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk kelemahan perakaunan, pembayaran hibah ketika kedudukan kewangan tertekan, bonus tanpa kebenaran serta keputusan pelaburan yang menyebabkan kerugian besar.

Hibah Dibayar Ketika Kedudukan Kewangan Tertekan

RCI mendapati TH mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, walaupun penyata kewangan ketika itu menunjukkan keuntungan bersih RM3.4 bilion.

Laporan itu turut mendapati terdapat amalan perakaunan yang membolehkan TH mengira nilai aset pada tahap lebih tinggi bagi tujuan pengagihan hibah.

Keadaan tersebut menyebabkan hibah terus diagihkan walaupun liabiliti TH melebihi aset pada 2016 dan 2017.

Kerajaan kemudiannya melakukan penstrukturan semula pada 2018 bagi menangani jurang kewangan dan mengelakkan risiko pengeluaran simpanan secara besar-besaran.

Bonus Lebih RM2.19 Juta Tanpa Kebenaran

RCI turut mendedahkan isu pembayaran bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan TH antara 2010 hingga 2017.

Lebih serius, anak syarikat TH Properties didapati memberikan bonus tanpa kebenaran berjumlah lebih RM2.19 juta kepada pengarah dan pegawai pada 2017 dan 2018.

RCI mengesyorkan supaya jumlah tersebut dikembalikan.

Pelaburan Berisiko Cetus Kerugian

Dalam aspek pelaburan, RCI mengenal pasti transaksi mencurigakan serta kelemahan dalam proses membuat keputusan yang melibatkan 14 syarikat.

Pelaburan tersebut menyebabkan TH mengalami kerugian dan penurunan nilai aset yang besar.

RCI mencadangkan audit forensik dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana keputusan pelaburan dibuat serta menentukan pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut.

Tadbir Urus TH Perlu Diperkukuh

RCI turut mencadangkan perubahan terhadap Akta Tabung Haji 1995 bagi memperkukuh tadbir urus institusi itu.

Antara cadangan utama ialah mengehadkan penglibatan ahli politik aktif sebagai pengarah TH dan anak syarikatnya.

RCI juga mencadangkan supaya pelantikan pengarah mengambil kira kepakaran khusus dalam bidang seperti perbankan, perakaunan dan ekonomi.

Subsidi Haji Beri Tekanan Kepada Kewangan

Kos menunaikan haji dijangka terus meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada kemampuan TH untuk mengekalkan subsidi haji dan hibah pada masa hadapan.

RCI mencadangkan subsidi diberikan berdasarkan keperluan, manakala pendeposit yang mempunyai kemampuan kewangan lebih baik membayar kos haji yang lebih tinggi.

Deposit minimum untuk mendapatkan giliran haji pertama turut dicadangkan dinaikkan supaya lebih selari dengan kos sebenar haji.

75% Cadangan RCI Sudah Dilaksanakan

TH selepas laporan RCI dikeluarkan memaklumkan bahawa 75% daripada cadangan RCI telah dilaksanakan, manakala baki cadangan masih dalam proses.

Tabung Haji turut menyatakan pengagihan hibah sejak 2022 dibuat berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit serta kedudukan kewangan kini lebih kukuh.

Dalam masa sama, SPRM, polis dan LHDN telah memulakan siasatan susulan beberapa penemuan dalam laporan RCI.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved