Parlimen perlu terlibat, bukan menguasai — Syed Saddiq

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 12:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Parlimen perlu terlibat, bukan menguasai — Syed Saddiq
Syed Saddiq

SHAH ALAM — Penglibatan Parlimen dalam proses pemilihan jawatan penting negara adalah langkah wajar, namun perlu dilaksanakan secara seimbang bagi mengelakkan pemusatan kuasa.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpandangan bahawa dalam sistem yang ideal, proses pemilihan tidak seharusnya dikuasai oleh satu institusi sahaja, sebaliknya melibatkan pelbagai pihak termasuk jawatankuasa khas, wakil Parlimen serta institusi kehakiman.

“Sepatutnya memang Parlimen dilibatkan supaya kita tidak memusatkan kuasa ke mana-mana institusi. Apabila ada penglibatan daripada jawatankuasa, Parlimen dan juga institusi kehakiman, proses itu menjadi lebih seimbang.

"Hasil daripada proses yang inklusif itu kemudiannya boleh dikemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-Raja sebagai langkah akhir dalam memastikan ketelusan dan keabsahan pelantikan,” katanya kepada Rasuah Busters selepas berucap pada forum mengenai pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Wisma Majlis Peguam Malaysia, Kuala Lumpur pada Isnin.

Namun begitu, Syed Saddiq mengakui terdapat cabaran tertentu sekiranya Parlimen diberikan kuasa yang terlalu besar dalam proses tersebut.

Katanya, hal berkenaan berpotensi bertindih dengan beberapa keputusan mahkamah terdahulu serta menimbulkan isu dari sudut perundangan.

“Ada juga sedikit masalah jika Parlimen diberikan kuasa sepenuhnya atau terlalu besar, kerana ia mungkin bertindih dengan keputusan mahkamah sebelum ini,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan mencari jalan tengah yang praktikal, iaitu memastikan Parlimen tetap memainkan peranan dalam proses pemilihan tanpa menjadi pihak dominan yang mempunyai kuasa mutlak untuk mencalon atau melantik.

“Harapan saya, kita cari jalan tengah. Mesti ada penglibatan Parlimen, tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu Parlimen memainkan peranan terbesar seperti mencalon atau melantik sepenuhnya. Keseimbangan itu adalah solusi terbaik,” katanya lagi.

Beliau menambah bahawa pendekatan yang seimbang dan inklusif itu penting bagi memastikan sistem tadbir urus negara kekal telus, berintegriti dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak.