PAS Jemput Kepimpinan UMNO Hadiri Muktamar Ke-72

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 3:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PAS Jemput Kepimpinan UMNO Hadiri Muktamar Ke-72

KOTA BHARU - PAS akan mengundang kepimpinan tertinggi UMNO menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-72 bulan depan, dalam perkembangan terbaharu yang dilihat membuka ruang kepada kerjasama politik antara kedua-dua parti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata surat jemputan rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO dalam masa terdekat, manakala keputusan mengenai wakil yang akan hadir diserahkan kepada parti berkenaan.

"Melalui mesyuarat yang diadakan, kita bersetuju untuk menjemput pimpinan UMNO sebagai rakan kerjasama politik. Kita akan hantar surat jemputan kepada Setiausaha Agung UMNO dan terpulang kepada parti untuk menentukan siapa yang akan dihantar.

“Di peringkat sayap, termasuk Pemuda, kita juga akan menjemput pimpinan sayap UMNO,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Muktamar Tahunan PAS ke-72 di sini, Ahad.

Takiyuddin berkata muktamar yang dijadualkan berlangsung bulan depan itu turut bersempena ulang tahun ke-75 penubuhan PAS.

Beliau berkata pihaknya masih menerima usul daripada kawasan PAS berikutan sebahagian kawasan baru selesai mengadakan mesyuarat masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin mengesahkan Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, katanya, rundingan itu tidak akan membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Rundingan belum bermula tetapi pada prinsipnya kita sudah bersetuju untuk mengadakan rundingan dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Rundingan ini mungkin tidak sama seperti di Negeri Sembilan kerana setiap negeri berbeza dan pembahagian kerusi juga berbeza,” katanya.

Menurut Takiyuddin, PAS ketika ini tidak mempunyai sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, namun mempunyai wakil di Parlimen.

Katanya, kedudukan itu akan menjadi antara asas dalam rundingan bersama BN, termasuk kemungkinan BN mengekalkan 20 atau 21 kerusi DUN, termasuk kerusi Rembia yang wakil rakyatnya telah menyertai PAS.

“Semua ini akan menjadi asas perbincangan kita. Sama ada mereka mahu mengekalkan 20 atau 21 kerusi, termasuk Rembia, di mana ADUN itu juga telah menyertai PAS, perkara ini akan dibincangkan,” katanya.

Mengulas laporan mengenai kemungkinan Pakatan Harapan (PH) turut mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka, Takiyuddin berkata beliau tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

“Saya tidak ada maklumat dan perkara ini belum timbul. Kita tidak tahu sama ada benar atau tidak, itu perlu ditanya kepada UMNO.

“Kalau UMNO kata benar, kita akan fikirkan kemudian. Ia mungkin juga hanya gimik politik,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim, dilaporkan berkata tiada rundingan rasmi diadakan dengan BN berhubung kerjasama menghadapi PRN Melaka.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat komunikasi dan perbincangan tidak rasmi antara wakil parti dengan BN.

Sementara itu, Takiyuddin menegaskan kerjasama politik antara PN dan BN pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini dibuat berdasarkan persefahaman bertulis dan bukan sekadar janji secara lisan.

Katanya, persefahaman itu ditandatangani Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan disokong oleh Presiden PAS serta Presiden Parti Wawasan Negara.

BN pula diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta mendapat sokongan Presiden MCA dan MIC.

"Melalui persefahaman bertulis itu, antara lain kita bersetuju jawatan Menteri Besar diberikan kepada BN, manakala jumlah anggota Exco dibincangkan kedua-dua pihak.

“Hasil perbincangan, kita memperoleh dua jawatan Exco dan jawatan Timbalan Speaker,” katanya.

Takiyuddin berkata persefahaman berkenaan sehingga kini tidak dibatalkan dan yakin kerjasama itu dapat diteruskan bagi menghadapi pilihan raya negeri serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Saya sahkan kerjasama itu bukan sekadar lisan tetapi berdasarkan persefahaman bertulis dan sehingga kini tidak ada usaha untuk membatalkannya.

“Saya yakin persefahaman yang kukuh ini akan dibawa ke pilihan raya negeri dan PRU demi kepentingan penyatuan ummah,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata sesuatu persefahaman politik wajar dianggap masih sah selagi tidak ditamatkan secara rasmi.

“Persefahaman di Negeri Sembilan dan pendekatan yang kita ambil tidak pernah dibatalkan dan saya percaya kedua-dua pihak akan terus bekerjasama,” katanya. - Getaran, 10 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved