Pas mahu terus berunding kerusi DUN Melaka dengan BN

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 1:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pas mahu terus berunding kerusi DUN Melaka dengan BN

MARANG – Pas optimis mampu mencapai muafakat terbaik dalam pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi biarpun Barisan Nasional (BN) berpendirian tidak akan melepaskan walaupun satu pun daripada 21 kerusi dimenangi sebelum ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan masih berjalan dan parti itu komited berusaha mencapai penyelesaian terbaik demi perpaduan Melayu Islam dan kaum-kaum lain yang tidak ekstrem.

“Kita masih dalam perundingan. Melaka ini, dewan (undangan negeri) pun masih belum bubar lagi.

“Kita berusaha menyatukan dan menyelamatkan Melayu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, partinya terbuka berunding dengan mana-mana pihak berhubung PRN Melaka namun tidak akan berkompromi untuk mempertahankan 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang dikuasai.

Abdul Hadi berkata, antara perkara perlu diambil kira dalam rundingan pembahagian kerusi DUN dalam PRN Melaka ialah keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang menunjukkan
kemerosotan pengaruh BN di Melaka.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, BN gagal memenangi walaupun satu daripada enam kerusi Parlimen dipertandingkan biarpun mempunyai 21 wakil rakyat iaitu UMNO (18), MCA (dua) dan MIC (satu) dalam DUN Melaka.

“(Sewaktu PRU-15, kerusi-kerusi Parlimen Melaka dimenangi) Pas (dua) dan Parti Wawasan Negara, DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Nasional masing-masing satu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pas mahu terus berunding kerusi DUN Melaka dengan BN appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved