PAS menyalurkan RM43,000 setiap bulan kepada Perikatan Nasional (PN) menerusi sumbangan Ahli Parlimennya, sekali gus menjadikan parti itu penyumbang dana terbesar gabungan berkenaan, menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Foto: Astro Awani
Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata, jumlah tersebut dikumpulkan daripada 43 Ahli Parlimen yang mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan setiap seorang menyumbang RM1,000 sebulan.
Menurutnya, PAS terus memberikan sumbangan kewangan kepada PN meskipun komitmen parti lain dalam gabungan itu tidak konsisten.
“Saya nak mengaku malam ini, kita banyak menyumbang kepada PN, parti lain kadang-kadang bagi, kadang-kadang tak bagi.
“Walaupun Pengerusi PN sebelum ini daripada BERSATU, namun kita tetap menyumbang sehingga kita merasakan Tan Sri Muhyiddin gagal mengemudi PN.
“Saya tegaskan juga di sini, PAS adalah parti yang mempunyai paling banyak kerusi bukan hanya dalam PN sebaliknya dalam Parlimen,” katanya.

Foto: Malay Mail
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Himpunan & Munajat Panyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian.
Kenyataan itu turut menyentuh peranan PAS dalam menyokong kewangan gabungan berkenaan sepanjang tempoh PN dipengerusikan oleh pemimpin daripada BERSATU.
Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu.
Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Sumber: Berita Harian (Nor Fazlina Abdul Rahim)






