Sumbangan bulanan RM43,000 kepada Perikatan Nasional (PN) tidak wajar dijadikan alasan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk mengecilkan peranan Bersatu dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kejayaan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Foto: NST
Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, lonjakan kerusi Parlimen PAS daripada 18 pada PRU14 kepada 43 pada PRU15 perlu dilihat sebagai hasil kerjasama dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, PAS sendiri pernah mengiktiraf bahawa pencapaian tersebut diperoleh menerusi kerjasama dalam PN yang ketika itu diterajui Muhyiddin.
“Memang patut Pas menyumbang. Yang tidak patut ialah menganggap RM43,000 sebulan boleh memadamkan peranan BERSATU dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dalam kemenangan bersejarah PAS,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, tanggungjawab menyumbang kepada kewangan gabungan tidak boleh dipisahkan daripada keperluan menghormati peranan rakan politik.
“Pada PRU14, Pas memenangi 18 kerusi Parlimen. Pada PRU15, jumlah tersebut melonjak kepada 43 kerusi ketika Pas berada dalam PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sanjeevan berkata, PAS turut perlu memikul tanggungjawab politik susulan pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Menurut beliau, antara alasan yang dinyatakan berhubung perkara itu berkaitan penafian hak Bersatu untuk menyertai mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan sumbangan kewangan tidak memberikan alasan kepada mana-mana pihak untuk membelakangkan perlembagaan gabungan atau memperlekehkan rakan yang turut membantu membina kekuatan bersama.
Sanjeevan yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia berkata, kesediaan mengiktiraf sumbangan parti lain mencerminkan kematangan dalam berpolitik.
Sebaliknya, menurut beliau, tindakan mengungkit bantuan kewangan sambil mengecilkan peranan rakan gabungan menunjukkan kurangnya semangat setiakawan.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan PN terbina melalui penglibatan pelbagai pihak, justeru sumbangan sesebuah parti tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah wang semata-mata.
Sumber: Facebook Sri Sanjeevan Ramakrishnan






