Pas Perlis terbuka berunding dengan UMNO

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 8:13 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pas Perlis terbuka berunding dengan UMNO

ARAU: Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbuka berunding dengan UMNO di Perlis atas nama penyatuan Melayu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pada masa ini, Pas masih menunggu UMNO untuk mengadakan sebarang pertemuan berhubung kerjasama itu.

Kata Ahli Parlimen Arau itu, pada peringkat awal, kepemimpinan UMNO Perlis boleh berunding sama ada dengan Pesuruhjaya Pas negeri atau beliau sendiri selaku Timbalan Pesuruhjaya merangkap Pengerusi PN negeri.

“Kami tidak ada masalah, kami masih menunggu kawan (UMNO) kita ini untuk berunding. Kami tunggulah, kalau kami hendak mulakan dulu kurang manis disebabkan Perlis ini tidak ada kerusi Barisan Nasional (BN), jadi kita tunggulah.

“Hendak berjumpa terpulang di mana-mana, Kompleks Pas Perlis boleh,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, UMNO Kedah sudah ada bayangan awal kerjasama yang bakal dijalin dengan Pas Kedah, hasil pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, kunjungan ke kediaman rasmi Menteri Besar Kedah untuk pertemuan secara tidak rasmi sangat mesra, positif dan hasilnya ada bayangan awal ke arah perbincangan yang lebih serius di peringkat lebih tinggi selepas ini.

Kata Mahdzir, UMNO Kedah juga mendapat bayangan bagaimana untuk meletakkan perundingan antara kedua-dua parti tersebut di meja rundingan jika bergerak bersama dalam PRU-16.

Sementara itu, Shahidan memberitahu, Pas Perlis pada masa ini semakin kukuh meskipun berdepan sedikit masalah dalaman sebelum ini.

“Jika dilihat betul-betul, Pas Perlis ini tidak ada masalah, mungkin hanya terdapat maklumat kononnya ada masalah. Pas Perlis juga cukup aktif melaksanakan aktiviti di negeri ini.

“Pas Perlis kini juga semakin kuat dan bersedia mendepani PRU16. Dalam soal kerjasama, kita juga merujuk dengan pusat mengenai kehadiran Parti Wawasan Negara (Wawasan),” katanya.-UTUSAN

The post Pas Perlis terbuka berunding dengan UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved