KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka membacakan Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri ketika membacakan dokumen tersebut turut menjelaskan takrifan dan tafsiran terma yang digunakan dalam perjanjian berkenaan.
"Saya hendak tunjukkan perjanjian persefahaman kerjasama untuk membentuk kerajaan gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia. Mana ada sebut kerajaan (Madani), ini ada?
"Definisi dan tafsiran, melainkan keadaan dan konteksnya memerlukan sebaliknya, terma-terma berikut atau ekspresi-ekspresi yang digunakan dalam Perjanjian ini hendaklah mempunyai maksud seperti berikut: Perjanjian persefahaman kerjasama hendaklah bermaksud perjanjian ini dan apa-apa perjanjian tambahan yang dibuat selepas ini berkaitan dengan pembentukan dan operasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.
"Eh, 'ceplos', tengoklah ini dulu," katanya ketika ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
Sebelum ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, UMNO mahu pentadbiran negara kekal dirujuk sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia, selaras dengan perjanjian asal pembentukan kerajaan yang dipersetujui dalam Perkara 18.
Beliau menegaskan, penggunaan gagasan Malaysia Madani sebagai wawasan atau 'war cry' tidak menjadi persoalan, namun penonjolan istilah 'Kerajaan Madani’ berbanding Kerajaan Perpaduan dilihat tidak selari dengan kesepakatan awal.






