
SANDAKAN: PAS Sabah akan terus berpandukan pendirian Perikatan Nasional (PN) dalam membuat sebarang keputusan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, walaupun mengekalkan hubungan mesra dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata apa-apa rundingan atau perbincangan mengenai pembahagian kerusi pada masa akan datang tetap akan dibuat dalam kerangka PN.
“Dalam konteks kita di negeri Sabah, saya rasa yang jelas PAS tetap berada dalam Perikatan Nasional. Jadi perbincangan kita masih dalam sekitar Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Keluarga Sandakan 2025 di Dewan Sri Libaran, Sabtu lalu.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau menambah bahawa walaupun PAS dilihat rapat dengan GRS, parti itu kekal dengan identiti PN yang dibentuk melalui sejarah kerjasama politik di Sabah sejak 2020.
“Setakat ini saya rasa saya masih sebahagian daripada yang mesra GRS sebab GRS sebahagian daripada kerajaan, dan ini berdasarkan sejarah politik bermula 2020,” katanya. Ditanya mengenai jumlah kerusi yang mahu ditandingi PAS, beliau berkata belum ada ketetapan khusus setakat ini.
“Buat masa ini kita fokus kepada memperkukuh jentera dalam PN. Rundingan rasmi pun belum kita jalankan,” katanya.
Pada bulan lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, memaklumkan bahawa parti itu menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya enam kerusi di Sabah dan tidak menolak kemungkinan menggunakan logo berbeza sebagai strategi kerjasama lebih besar.
Aliakbar dalam pada itu turut mengingatkan agar ahli politik tidak meniup sentimen kenegerian yang boleh menjejaskan perpaduan nasional.
“Ada kalanya sebelum pilihan raya kita buat seolah-olah adanya pemisahan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kalau ini kita asak, ia boleh menyebabkan konflik yang lebih besar ataupun pemisahan jangka masa panjang,” katanya.
Mengenai calon, beliau berkata PAS mahu mengetengahkan individu yang berwibawa, jujur, dan memahami konsep kepimpinan sebagai satu amanah berteraskan nilai agama.
“Saya rasa Sabah perlu mencari tokoh-tokoh yang seumpama itu — yang ada ketokohan, ada kejujuran, ada latar belakang memahami soal dosa, pahala, kebaikan dalam konteks agamanya. Kita takut nanti kalau ada tokoh politik yang tidak memahami soal dosa, pahala ini, dia akan melakukan contoh rasuah, salah guna kuasa,” katanya.
Meskipun belum pernah memenangi sebarang kerusi di Sabah, Aliakbar berkata PAS akan terus menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan di peringkat akar umbi dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai.
Pelantikannya sebagai satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dari PAS di Sabah selepas PRN 2020 sebelum ini mencetuskan reaksi negatif daripada beberapa pemimpin dan pertubuhan sivil, yang bimbang kehadiran parti itu akan mengganggu keharmonian agama di Sabah.
PAS bagaimanapun menepis kebimbangan tersebut, dengan menegaskan bahawa keutamaan mereka di Sabah adalah perkhidmatan dan keterangkuman.
Sementara itu, menyentuh program tersebut, Aliakbar berkata Karnival Keluarga Sandakan 2025 merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah dan menjadi platform memperkukuh nilai kekeluargaan serta hubungan komuniti.
Program itu dianjurkan oleh Dewan Muslimat PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Sabah dan PAS Zon Sandakan, serta menampilkan pelbagai pertandingan untuk individu dan keluarga. Beliau berkata program seumpama ini berpotensi diperluas ke zon lain di seluruh negeri.
Turut hadir Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Salamiah Mohd Nor; Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad; Bendahari PAS Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar; serta pimpinan PAS dari Sabah, Pahang dan Perak.
