
JEMPUTAN Pas kepada pimpinan tertinggi UMNO untuk menghadiri muktamar parti itu ke-72 di Kota Bharu, Kelantan dari 2 hingga 5 September ini bukan sekadar acara memenuhi protokol politik.
Dalam politik Malaysia, khususnya hubungan antara dua parti besar Melayu-Islam itu, satu jemputan ke pentas muktamar membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar hadir, bersalaman dan mendengar ucapan.
Lebih-lebih lagi apabila perkara itu berlaku ketika sejarah kerjasama Pas dan UMNO masih meninggalkan persoalan yang belum terjawab. Luka Muafakat Nasional (MN) 1.0 masih belum benar-benar sembuh.
Perkara itu semakin menarik apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan pimpinan tertinggi UMNO akan diundang ke muktamar berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Panitia Induk Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).
Maka, perhatian bukan lagi sekadar tertumpu kepada sama ada UMNO akan menerima jemputan tersebut.
Persoalan yang lebih besar ialah, adakah perbahasan mengenai penyatuan UMNO dan Pas akan turut bergema di pentas Muktamar Pas kali ini.
Ia bukan persoalan kecil. Pas sebagai sebuah parti yang mempunyai akar umbi kuat, lazimnya menjadikan muktamar sebagai medan untuk perwakilan melontarkan pandangan, membahaskan hala tuju dan memberi isyarat tentang kehendak sebenar parti.
Sekiranya isu hubungan dengan UMNO dibangkitkan, perbahasan itu pasti menarik perhatian kerana ia boleh menjadi petunjuk sejauh mana akar umbi Pas bersedia membuka semula pintu kepada sebuah kerjasama yang pernah dipuji sebagai penyatuan besar umat Melayu-Islam.
Namun, membuka pintu semula tidak bermakna melupakan apa yang berlaku. Muafakat Nasional suatu ketika dahulu hadir dengan harapan besar.
Ia menyatukan Pas dan UMNO selepas sekian lama menjadi musuh politik, malah naratif penyatuan Melayu dan Islam ketika itu cukup kuat untuk meyakinkan penyokong kedua-dua pihak bahawa era baharu politik sedang bermula.
Tetapi MN 1.0 akhirnya gagal bertahan. Secara teorinya, kerjasama itu sudah ‘mati’ apabila landskap politik berubah dan UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) memilih bersama Pakatan Harapan (PH) serta beberapa parti lain membentuk Kerajaan Perpaduan.
Di sinilah luka itu bermula dan masih terasa. Bagi Pas, pengalaman MN mungkin mengajar bahawa persetujuan politik tidak semestinya menjamin kesetiaan jangka panjang.
UMNO pula, kerjasama dengan Pas juga pernah membawa persoalan tentang ruang politiknya sendiri, termasuk kebimbangan kehilangan pengaruh dan dominasi dalam kawasan majoriti Melayu.
Maka, jika ada usaha mahu menghidupkan semula penyatuan itu, persoalan paling sukar bukan lagi mengapa perlu bekerjasama, tetapi bagaimana mahu mempercayai semula.
Kepercayaan adalah modal paling mahal dalam politik. Pas dan UMNO boleh bersetuju dalam banyak perkara, termasuk soal kepentingan Melayu-Islam dan keperluan mengelakkan pertandingan sesama sendiri.
Namun apabila tiba soal pembahagian kerusi, calon, kepimpinan dan kuasa, idealisme sering berdepan realiti politik.
Itulah antara punca mengapa MN 1.0 tidak boleh sekadar dilihat sebagai sebuah episod yang sudah berlalu.
Jika muktamar kali ini benar-benar menyentuh soal penyatuan UMNO dan Pas, maka perbahasan itu sepatutnya tidak terhenti pada nostalgia MN atau seruan umum mengenai perpaduan.
Sebaliknya, akar umbi dan pimpinan perlu berani bertanya sama ada kedua-dua pihak benar-benar sudah belajar daripada kegagalan lalu.
Apakah jaminan MN 2.0, jika ia benar-benar mahu diwujudkan, tidak akan berakhir seperti MN 1.0?
Adakah akan diwujudkan mekanisme rundingan lebih jelas? Adakah persefahaman mengenai pembahagian kerusi dan hala tuju politik akan dipersetujui lebih awal?
Paling penting, sejauh mana kedua-dua parti bersedia mempertahankan perjanjian apabila landskap politik berubah selepas pilihan raya?
Persoalan ini tidak boleh dielakkan.
Pas juga perlu mengambil kira kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN), manakala UMNO pula masih menjadi komponen BN dalam Kerajaan Perpaduan. Sebarang usaha penyatuan baharu akan membawa kesan kepada rakan politik masing-masing.
Inilah yang menjadikan jemputan ke Muktamar Pas Ke-72 lebih daripada sekadar satu acara politik. Ia mungkin menjadi pentas awal untuk menguji suhu hubungan Pas dan UMNO.
Kehadiran pimpinan tertinggi UMNO boleh membuka ruang kepada mesej perdamaian dan isyarat politik baharu. Tetapi kehadiran itu sahaja belum cukup untuk memadamkan luka MN 1.0.
Jabat tangan boleh membuka pintu, tetapi kepercayaan tidak dibina dalam sehari.
Jika Pas dan UMNO benar-benar mahu kembali berbicara mengenai penyatuan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kedua-duanya perlu bersedia membedah semula kegagalan MN dengan jujur.
Mereka perlu mengenal pasti di mana kerjasama itu retak, siapa yang gagal mempertahankannya dan apakah mekanisme baharu yang boleh mengelakkan episod sama daripada berulang.
Jika tidak, perbincangan mengenai penyatuan hanya akan menjadi slogan yang sedap didengar ketika muktamar dan ceramah politik, tetapi rapuh apabila berdepan ujian sebenar.
Muktamar Pas kali ini mungkin menjadi medan untuk menjawab satu persoalan yang semakin kuat bermain dalam fikiran pemerhati politik: Adakah luka MN 1.0 sudah cukup sembuh untuk membolehkan Pas dan UMNO memulakan lembaran baharu?
Atau, kedua-dua parti sebenarnya masih mahu bekerjasama, tetapi belum cukup percaya untuk kembali bersatu?
Jawapannya mungkin tidak diumumkan secara rasmi dari pentas muktamar.
Tetapi jika isu penyatuan Pas dan UMNO benar-benar dibahaskan, setiap ucapan, reaksi perwakilan dan bahasa politik yang digunakan akan diperhatikan.
Kerana dalam politik, kadangkala apa yang dibahaskan lebih penting daripada apa yang diumumkan.
Bagi Pas serta UMNO, Muktamar Ke-72 mungkin bukan sekadar medan berhimpun, tetapi medan menguji sama ada luka lama benar-benar sudah sembuh atau masih terlalu dalam untuk sebuah penyatuan baharu.
Kor guanor? – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.
The post Pas-UMNO: Kembalinya muafakat dan luka yang belum sembuh appeared first on Utusan Malaysia.






