Pasangan kekasih jadi kurier dadah diberkas, terima upah RM5,000 setiap penghantaran

1 Jul 2026 • 1:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pasangan kekasih jadi kurier dadah diberkas, terima upah RM5,000 setiap penghantaran
Azry Akmar menunjukkan dua suspek yang ditahan.
Image from: Pasangan kekasih jadi kurier dadah diberkas, terima upah RM5,000 setiap penghantaran
Azry Akmar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Pahang pada Rabu.
Image from: Pasangan kekasih jadi kurier dadah diberkas, terima upah RM5,000 setiap penghantaran
Azry Akmar (tengah) menunjukkan beberapa jenis dadah yang dirampas dalam satu serbuan di Genting Permai, Bentong pada sidang media di IPK Pahang.

KUANTAN - Sepasang kekasih dipercayai menerima upah RM5,000 bagi setiap penghantaran dadah diberkas bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM728,510 dalam serbuan di Genting Permai, Bentong, Isnin lalu.

Lelaki tempatan berusia 37 tahun berasal dari Kedah dan teman wanitanya, warga asing berusia 35 tahun, ditahan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan Polis Kontinjen Pahang menerusi Ops Tapis Khas (Operasi Hawks).

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pasangan itu dipercayai mendaftar masuk ke sebuah hotel sebelum ditahan di dalam sebuah kereta di kawasan parkir premis berkenaan.

​Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek berjaya menemukan pelbagai jenis dadah.

"Antara dadah yang dirampas ialah ketamin seberat tiga kilogram (kg), kokain (1 kg), serbuk MDMA (670 gram), syabu (500 gram) dan Erimin 5 (4 gram) dengan nilai keseluruhan RM728,510.

​"Selain dadah, pihak polis turut menyita wang tunai berjumlah RM1,000 serta seutas gelang emas yang dianggarkan bernilai RM1,600," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Rabu.

**media[3567878]**

Azry Akmar berkata, suspek lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai bersama teman wanitanya dipercayai menjadikan aktiviti itu sebagai kerja sambilan sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, jumlah dadah yang dirampas itu mampu merosakkan seramai kira-kira 10,000 orang pengguna sekiranya terlepas ke pasaran.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah diperoleh dari Lembah Klang untuk pasaran sekitar Pantai Timur.

"Mereka berperanan sebagai kurier yang mengambil upah RM5,000 bagi setiap penghantaran dan hasil risikan turut mendapati ini bukan kali pertama mereka melakukan penghantaran," katanya.

**media[3567875]**

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, Azry Akmar berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang turut menahan 333 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Ops Hawk yang dilaksanakan di seluruh negeri selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Jun lalu.

Menurutnya, operasi itu melibatkan 167 serbuan dan 393 pemeriksaan yang membawa kepada pembukaan 260 kertas siasatan, selain rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM762,989 serta menyita harta bernilai RM79,600.

​“Kejayaan itu membuktikan komitmen pihak polis dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

​"Kita gesa orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis mengekang jenayah berkenaan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved