‘Saya pusing, nampak harimau tarik bapa’

LocalEnvironment
22 Sep 2026 • 3:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya pusing, nampak harimau tarik bapa’

SUNGAI SIPUT – Anak kepada mangsa serangan harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor di sini semalam, tidak dapat melupakan jeritan bapanya yang diserang haiwan liar itu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Joe Zamberi, 23, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika dia dan bapanya baru selesai mencari hasil hutan selepas memasuki kawasan berkenaan kira-kira pukul 8 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian dia berjalan di hadapan manakala bapanya berada di belakang sebelum terdengar jeritan mangsa.

“Saya dengar bapa menjerit, apabila saya pusing ke belakang, saya lihat harimau telah tarik bapa saya pergi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Siput, di sini hari ini.

Menurutnya, dia yang ketakutan tidak berani mendekati haiwan berkenaan sebaliknya terus melarikan diri ke kampung untuk mendapatkan bantuan penduduk.

Katanya, harimau berkenaan bersaiz besar dan kejadian itu merupakan pengalaman pertama dia berdepan serangan haiwan berkenaan.

“Saya takut dan terus berlari panggil orang kampung. Waktu itu saya rasa mahu menangis sebab takut,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas hubungannya dengan bapa, Joe yang sukar menahan sebak ketika mengenangkan kejadian itu berkata, mereka sememangnya sangat rapat.

Media sebelum ini melaporkan, mayat lelaki Orang Asli, Zamberi Angah, 43, ditemukan pada pukul 6.58 petang semalam di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi yang dipercayai berlaku serangan.

Pemeriksaan di lokasi turut menemukan kesan tapak kaki harimau belang serta kesan gigitan pada leher mangsa, selain beberapa petunjuk lain termasuk kesan pergelutan, seretan dan darah di sekitar lokasi penemuan. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saya pusing, nampak harimau tarik bapa’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved