Pasangan Suami Isteri Ditemukan Maut, Mayat Dijumpai Di Bilik Berasingan

14 Nov 2026 • 3:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pasangan Suami Isteri Ditemukan Maut, Mayat Dijumpai Di Bilik Berasingan

KAJANG - Sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia di tingkat atas kediaman mereka di Bandar Tasik Kesuma, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.31 petang.

Menurutnya, pemeriksaan awal di lokasi mendapati kedua-dua mangsa yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 30-an ditemukan tidak bernyawa di bilik berasingan di tingkat atas rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang petunjuk jelas yang menunjukkan wujud unsur jenayah.

“Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat serta siasatan lanjut.

Sementara itu, kejadian berkenaan turut mendapat perhatian pengguna media sosial selepas seorang pengguna Threads berkongsi pemerhatiannya mengenai kehadiran beberapa kenderaan polis dan sebuah lori di kawasan perumahan terbabit.

Pengguna berkenaan turut mendakwa kejadian itu membabitkan pasangan suami isteri, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Sarjan Mejar Anif Jawawi di talian 016-6061 659 bagi membantu siasatan, katanya. - Getaran, 14 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved