Pemandu SUV mengaku tidak salah sebabkan kematian 3 beranak

31 Jul 2026 • 12:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemandu SUV mengaku tidak salah sebabkan kematian 3 beranak

KAJANG – Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu dibawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan tiga beranak maut pada Rabu lalu.

Tertuduh Mohd. Norazlan Mohd. Tamyiz, 42, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia sebagai pemandu SUV jenis Perodua Aruz didakwa memandu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian kepada tiga individu.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, 34; Nik Aishah Asilah Nik Mohd. Zamzuri, 32, dan Muhammad Rafie Hanzal Hafifi yang berusia tiga tahun di Jalan Batu 17 Hulu Langat, pukul 7.56 pagi pada 29 Julai lalu.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dihukum di bawah Subseksyen (1) akta sama yang menetapkan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama sekurang-kurangnya 10 tahun dari tarikh sabitan, atau 20 tahun bagi sabitan kali kedua dan seterusnya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun Peguam bela, S. Priyalatha yang mewakili Mohd. Norazlan memohon agar anak guamnya diberikan jaminan rendah atas alasan berpendapatan RM1,000 sebulan bagi menyara isteri dan dua anak yang masih bersekolah.

“Tertuduh juga penyara tunggal keluarga turut menanggung ibu bapa yang mempunyai sakit tua dan bergantung kepada ubat-ubatan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Tarikh 18 September ini ditetapkan sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah SUV di Jalan Batu 17, Hulu Langat.

Pemandu SUV jenis Perodua Aruz itu turut disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian pada pukul 7.56 pagi itu membabitkan mangsa lelaki berusia 34 tahun yang juga mekanik, isterinya (32 tahun) dan anak lelaki (tiga tahun).

Katanya, ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berikutan kejadian itu, pemandu SUV ditahan bagi membantu siasatan dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah narkotik, manakala ujian saringan air kencingnya juga positif dadah methamphetamine. – KOSMO! ONLINE

The post Pemandu SUV mengaku tidak salah sebabkan kematian 3 beranak appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved