
PEKAN: Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga individu iaitu seorang doktor, anak perempuannya berusia dua tahun dan seorang pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jun lalu.
Syed Muhammad Izzat Aiman Syed Ahmad, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah pikap Isuzu D-Max secara melulu di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan pada pukul 5.30 petang, 19 Jun lalu sehingga menyebabkan kematian Dr. Mohamad Zekry Zuhairy Mohd. Atan, 33; Dhea Sofia Mohamad Zekry Zuhairy, 2; dan Azaharuddin Mohd. Ali, 46.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khamisa Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Izwan Ishak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, mengarahkan lesen memandunya digantung sementara sehingga kes selesai dan perlu melapor diri di Balai Polis Muadzam Shah setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 September ini.
Dalam rayuannya, peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh memperoleh gaji RM1,500 sebulan sebagai juruteknik, isterinya sedang hamil tiga bulan selain memberi kerjasama penuh kepada polis sejak awal siasatan dan hadir secara sukarela ke mahkamah. Pendakwaan sebelum itu memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Dalam kejadian pada 19 Jun lalu, kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu mengorbankan Dr. Mohamad Zekry Zuhairy dan anak perempuannya, Dhea Sofia, serta Azaharuddin yang merupakan Ketua Penolong Pengarah LHDN Cawangan Cyberjaya.
Siasatan polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas pikap dipandu tertuduh cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV). – UTUSAN
The post Pemandu pikap tidak mengaku sebabkan kematian doktor, anak dan pegawai LHDN appeared first on Utusan Malaysia.






