
Pasangan tular membawa anak memakai alat bantuan pernafasan menaiki motosikal ke hospital baru-baru ini menafikan melarikan diri selepas status mereka masih belum bernikah terbongkar.
Mohd Azlan Ishak, 35, memberitahu mereka sebaliknya sedang dalam proses menguruskan pernikahan dan memilih untuk tidak menghebahkan perkara itu kepada umum.
"Saya tidak lari ke mana pun, ada saja di sini.
"Ada masalah jadi saya pergi selesaikan dahulu. Tak akan setiap kali selesai (masalah) nak buat video tunjuk kepada semua?" katanya seperti dilaporkan oleh akhbar Harian Metro.
Mohd Azlan memaklumkan, antara punca mengapa dia dan pasangannya Nurhidayu Halim, 35, belum bernikah disebabkan adalah masalah kewangan kerana terpaksa mendahulukan keperluan anak mereka, Mohd Aariz Zafran, 11 bulan, yang berpenyakit kronik.
"Sebelum ini saya tak berkemampuan kerana dahulukan belanja anak tapi kini ada kesempatan jadi dapatlah saya uruskan hal perkahwinan,” katanya.
Perkara ini turut disahkan Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Muslim yang berkata Mohd Azlan dan pasangan telah datang ke pejabatnya dengan membawa dokumen penting untuk proses pernikahan.
Terdahulu, gambar mereka tiga beranak menaiki motosikal untuk ke hospital tular dalam media sosial sehingga mendapat perhatian orang ramai dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disertai pelbagai bantuan serta sumbangan.
Namun, pendedahan status sebenar mereka yang masih belum bernikah terbongkar selepas Imam Masjid Al Maarufi di Kuala Kedah tampil memberikan penjelasan, yang menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Mohd Azlan turut menafikan dakwaan Nurhidayu memberi barang kemas menggunakan wang bantuan sebanyak RM20,000 yang diterima.
"Saya pun tak periksa akaun bank, buat apa periksa kerana duit sumbangan orang masih ada pada tangan, jadi gunakan yang itu dulu. Bukan nak menyombong, cuma sebelum ini ada RM50 dalam tangan pun dah cukup, dan sekarang lebih daripada itu jadi saya syukur, Alhamdulillah.
"Mana bukti jika ada (barangan kemas RM20,000). Cincin sebentuk RM800 adalah, itu pun nak buat kahwin dan bakal mak mentua belikan, siap ada resit," kata Mohd Azlan dan berharap orang ramai tidak terus membuat tuduhan melulu. - Getaran, 28 Mei, 2024


