hamden10/11/2026 - 15:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov - Pasaran hartanah kediaman Malaysia dijangka berdepan tekanan lebih ketara pada 2027 apabila kadar kelulusan pinjaman perumahan terus merosot dan bank memperketat pemberian pinjaman.
Pengarah Urusan JLL Malaysia, Jamie Tan berkata, kemungkinan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) tahun depan juga boleh memberi kesan kepada permintaan hartanah kediaman memandangkan kebanyakan pembeli bergantung kepada pinjaman perumahan untuk membiayai pembelian.
"Oleh itu, sebarang kenaikan kos pinjaman akan memberi implikasi kepada sektor kediaman dan keseluruhan pasaran hartanah Malaysia," katanya pada taklimat pasaran hartanah suku ketiga 2026 JLL Malaysia, pada Selasa.
Tekanan itu turut dicerminkan menerusi kadar kelulusan pinjaman perumahan yang merosot kepada 38.36% pada September 2026, berbanding julat sejarah antara 40% hingga 41% sepanjang 2022 hingga 2025.
JLL menjangkakan kadar kelulusan bagi keseluruhan 2026 berpotensi berada di bawah paras tahun-tahun sebelumnya apabila bank semakin selektif dalam meluluskan permohonan pembiayaan perumahan.
Punca pinjaman sukar
Jamie berkata, perkembangan itu sebahagiannya berpunca daripada tahap kelayakan kredit peminjam, khususnya golongan bekerja sendiri dan pekerja ekonomi gig yang berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan konvensional kerana tidak mempunyai gaji tetap atau slip gaji rasmi.
"Individu yang bekerja sendiri dan memperoleh pendapatan tinggi sekalipun mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan bank konvensional kerana tidak dapat mengemukakan slip gaji atau bukti pendapatan tetap.
"Perkara ini kekal sebagai antara cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia untuk mendapatkan pinjaman perumahan," katanya.
Beliau berkata, inisiatif pembiayaan yang disokong kerajaan seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) berpotensi membantu menangani isu berkenaan dengan menyediakan alternatif kepada individu yang sukar memperoleh pinjaman perumahan konvensional.
Dari segi aktiviti pasaran, sektor kediaman masih menunjukkan prestasi agak perlahan meskipun mencatatkan pemulihan pada suku kedua 2026 selepas mengalami pembetulan ketara pada suku pertama.
Penilaian JLL menunjukkan prestasi pasaran tidak sekata di beberapa lokasi utama.
Di Kuala Lumpur, jumlah transaksi kediaman meningkat kira-kira 7% antara suku pertama dan kedua 2026, namun nilai transaksi kekal hampir tidak berubah, menunjukkan peralihan permintaan kepada hartanah yang lebih mampu milik.
Pulau Pinang pula merekodkan jumlah dan nilai transaksi pada paras terendah dalam tempoh lima tahun pada suku kedua 2026.
Sementara itu, pasaran Selangor kembali pulih daripada kemerosotan pada suku pertama, namun masih mencatatkan prestasi suku kedua paling lemah dalam tempoh empat tahun.
Jamie berkata, pemaju bersaiz kecil dan sederhana turut mengambil langkah menghentikan sementara atau menangguhkan pelancaran projek masing-masing ketika menilai keadaan pasaran menjelang 2027.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa isu lebihan bekalan tidak seharusnya dikaitkan dengan keseluruhan pasaran kediaman kerana masalah itu tertumpu kepada segmen hartanah dan lokasi tertentu, khususnya pangsapuri perkhidmatan di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. - DagangNews.com






