Xiaomi 18 Pro dan 18 Pro Max dilancarkan di Malaysia pada 17 November

LocalTechnology
10 Nov 2026 • 6:24 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Xiaomi 18 Pro dan 18 Pro Max dilancarkan di Malaysia pada 17 November

Jika biasanya pengguna di Malaysia perlu menunggu sehingga suku pertama tahun berikutnya untuk mendapatkan telefon flagship terbaharu Xiaomi selepas pelancarannya di China, tetapi kini tidak lagi. Xiaomi Malaysia telah mengesahkan bahawa siri Xiaomi 18 Pro bakal dilancarkan di pasaran tempatan pada minggu hadapan.

Berdasarkan hantaran Xiaomi Malaysia di laman media sosial, acara pelancaran siri Xiaomi 18 Pro dijadualkan berlangsung pada hari Selasa, 17 November 2026, pada jam 9:00 malam. Xiaomi turut mengesahkan bahawa siri ini akan membawakan dua model, iaitu Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max.

Kedua-dua telefon ini menampilkan dua kamera 200MP dibangunkan bersama Leica, cip siri Snapdragon 8 Elite Gen 6 terbaharu daripada Qualcomm serta paparan sekunder di bahagian belakang.

Tempahan awal Xiaomi 18 Pro dibuka di Malaysia

Menjelang pelancarannya, Xiaomi Malaysia telah membuka kempen tempahan awal untuk siri Xiaomi 18 Pro di laman web mereka. Pengguna yang berminat boleh mendaftar secara percuma dan akan menerima 1,000 Mi Points.

Selain itu, pelanggan yang membuat tempahan awal siri Xiaomi 18 Pro turut berpeluang mendapatkan aksesori dan peranti Xiaomi terpilih pada harga istimewa apabila dibeli bersama telefon baharu mereka. Berikut ialah senarai tawaran harga bagi aksesori tersebut:

  • Xiaomi OpenWear Stereo – RM319 (Harga asal: RM599)
  • Xiaomi Buds 6 – RM319 (Harga asal: RM499)
  • Redmi Buds 8 Active – RM67 (Harga asal: RM99)
  • Xiaomi Smart Band 10 – RM169 (Harga asal: RM219)
  • Xiaomi Pad 8 (8GB+128GB) – RM1,399 (Harga asal: RM1,799)
  • Redmi Pad 2 Pro (8GB+256GB) – RM1,399 (Harga asal: RM1,599)

Kempen tempahan awal ini terbuka kepada penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang mempunyai akaun Mi. Setiap tawaran aksesori dihadkan kepada satu unit bagi setiap peserta dan tertakluk pada ketersediaan stok.

Kedua-dua model ini akan ditawarkan dalam empat warna: merah, biru hitam dan putih.

Buat masa ini, Xiaomi masih belum mendedahkan harga rasmi di Malaysia, konfigurasi RAM dan storan, serta tarikh jualan sebenar. Butiran ini dijangka akan diumumkan semasa acara pelancaran.

Sebagai rujukan, Xiaomi 18 Pro bermula daripada CNY5,999 (~RM3,647) di China, manakala Xiaomi 18 Pro Max yang lebih besar bermula daripada CNY6,999 (~RM4,255).

Pelancaran akan datang ini juga menandakan kembalinya siri Pro Xiaomi ke Malaysia. Awal tahun ini, Xiaomi telah melangkau Xiaomi 17 Pro dan Xiaomi 17 Pro Max untuk pasaran Malaysia, dan hanya menawarkan Xiaomi 17 standard serta Xiaomi 17 Ultra.

Spesifikasi siri Xiaomi 18 Pro

Seperti yang didedahkan semasa pelancaran di China, siri Xiaomi 18 Pro hadir dalam dua saiz, dengan kedua-dua peranti menampilkan paparan sekunder yang disepadukan pada bonggol kamera belakang.

Xiaomi 18 Pro yang lebih kecil mendapat paparan OLED beresolusi Full HD+ bersaiz 6.4 inci dengan resolusi 2436×1120 dan kadar segar semula adaptif sehingga 120Hz. Sementara itu, Xiaomi 18 Pro Max mendapat paparan LTPO OLED bersaiz 6.9 inci yang lebih besar dengan resolusi 2624×1208 dan kadar segar semula sehingga 120Hz.

Kedua-dua model menawarkan kecerahan puncak sehingga 4,000 nits dan menampilkanciri Privacy Display pada peringkat perkakasan Xiaomi, yang mengurangkan kebolehlihatan skrin apabila dilihat dari sudut tepi. Pengguna juga boleh menetapkan fungsi privasi ini untuk aplikasi, notifikasi, dan paparan berbilang tugas yang tertentu.

Di bahagian belakang, Xiaomi 18 Pro mendapat paparan OLED bersaiz 2.7 inci, manakala Pro Max menampilkan panel 2.9 inci yang lebih besar. Selain memaparkan notifikasi dan maklumat lain, skrin sekunder ini menyokong kad aplikasi dan kandungan janaan AI.

Di bahagian dalam, Xiaomi 18 Pro dikuasakan oleh Snapdragon 8 Elite Gen 6 daripada Qualcomm, manakala Pro Max mendapat cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 yang lebih berprestasi tinggi. Kedua-duanya dihasilkan menggunakan proses 2nm.

Di China, kedua-dua model ditawarkan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.1 sehingga 1TB.

Untuk fotografi, kedua-dua peranti menampilkan tetapan tiga kamera hasil kerjasama bersama Leica, yang terdiri daripada kamera utama 200MP dengan sensor 1/1.28 inci dan penstabilan imej optik (OIS), kamera telefoto periskop 200MP dengan zum optikal 3.2x dan OIS, serta kamera sudut ultra-lebar 50MP. Terdapat juga kamera hadapan 50MP untuk swafoto.

Di tanah besar China, Xiaomi 18 Pro memuatkan bateri 7,000mAh, manakala Xiaomi 18 Pro Max yang lebih besar mendapat bateri 8,500mAh. Kedua-dua peranti menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan pengecasan tanpa wayar 50W. Walau bagaimanapun, Xiaomi berkemungkinan akan menawarkan kapasiti bateri yang lebih kecil untuk pasaran global.

Kedua-dua model dilengkapi dengan rintangan habuk dan air IP66, IP68, dan IP69, di samping pengimbas cap jari ultrasonik dalam paparan. Namun begitu, model Pro Max yang lebih besar secara eksklusifnya menampilkan tetapan audio tiga pembesar suara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved