
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu menggesa pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) supaya bekerja keras memastikan kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Bercakap pada perjumpaan khas bersama ketua-ketua bahagian Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS merangkap Presiden Gagasan Rakyat berkata perpaduan dan kerjasama semua pimpinan parti di semua peringkat penting untuk kemenangan.
Beliau mengakui cabaran yang bakal dihadapi, sambil menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai yang paling kritikal bagi GRS, khususnya ketika pembangkang berusaha menjatuhkan kerajaan melalui fitnah dan penipuan“Kita mesti menang dalam pilihan raya ini. Saya tahu kita sedang berdepan tekanan yang hebat, namun kita mesti ada sifat tolak ansur dan pengorbanan.
“Apa jua keputusan parti, kita mesti menjunjung dan menghormatinya serta memberikan kerjasama sepenuhnya,” kata Hajiji.
Beliau yakin GRS bersama PH akan memperoleh mandat rakyat, sambil mengumumkan bahawa jentera pilihan raya gabungan itu akan dilancarkan pada pertengahan Oktober.
Membela rekod pentadbirannya, Hajiji menyebut beberapa pencapaian penting dalam tempoh lima tahun lalu termasuk peningkatan hasil negeri daripada RM4 bilion kepada RM7 bilion, dengan unjuran melebihi RM7 bilion pada tahun depan.
Beliau turut menyebut mengenai perjanjian bersejarah dengan Petronas yang membolehkan lebih 100 syarikat tempatan Sabah terlibat dalam industri minyak dan gas berbanding jumlah yang amat sedikit sebelum ini.
“Pembangkang kata kita gagal tapi di mana kegagalan itu jika kita dapat mentadbir negeri dengan baik dan memperkenalkan hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah?” katanya sambil menolak kritikan pembangkang sebagai cubaan menafikan kejayaan kerajaan.
Terdahulu, Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Masidi Manjun, Naib-naib Presiden Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Datuk Rubin Balang dan Datuk Masiung Banah, Ketua Wanita Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pemuda Datuk Fairuz Renddan serta Ketua Beliawanis Emmie Martin Idang.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung Datuk Mohd Razali Razi, Bendahari Negeri Datuk Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar dan Ketua Penerangan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
